PETALING JAYA: Seorang peguam menggesa lebih ramai hakim dilantik ke Mahkamah Rayuan, yang sering dianggap sebagai “enjin” sistem keadilan.
A Srimurugan juga berkata hakim yang boleh mengetuai kes perbicaraan sivil dan jenayah seharusnya boleh dilantik ke jawatan itu.
“Peguam ingin melihat bilangan hakim di Mahkamah Rayuan ditambah dan pada masa yang sama, melantik calon yang serba boleh,” katanya kepada FMT.
Srimurugan berkata pandangan umum dalam kalangan komuniti undang-undang, 27 hakim Mahkamah Rayuan yang berkhidmat ketika ini dibebani dengan kerja yang banyak.
Perlembagaan Persekutuan membenarkan pelantikan 32 hakim Mahkamah Rayuan, tetapi banyak jawatan kosong masih belum diisi.
Srimurugan berkata bilangan kes terus meningkat kerana Malaysia menjadi masyarakat yang semakin cenderung membuat tuntutan. Jenayah juga meningkat selari dengan pertambahan penduduk.
Seorang lagi peguam Rafique Rashid Ali berkata hakim terbeban mengendalikan kes rayuan dan mempunyai tempoh masa yang singkat untuk memberikan penghakiman bertulis.
Menurut arahan amalan mahkamah, hakim Mahkamah Rayuan mesti menyediakan alasan bertulis keputusan mereka dalam tempoh lapan minggu dari tarikh penyerahan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
“Hakim juga perlu menulis penghakiman dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan awam untuk membimbing hakim mahkamah lebih rendah dalam perkara seperti rasuah, jenayah seksual dan ganas,” katanya.
Rafique berkata satu penyelesaian adalah memperkenalkan satu panel pakar yang hanya mendengar rayuan berasal dari mahkamah rendah selama enam bulan.
“Ini akan memberi mereka pengalaman dan masa untuk menyampaikan alasan penghakiman mereka dalam rayuan dari mahkamah majistret dan sesyen,” katanya.
Peguam Shahruddin Mohamed pula mencadangkan kerajaan agar melantik pegawai penyelidik untuk membantu hakim menulis penghakiman mereka.