KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru supaya pembangunan di kawasan bandar dibuat dengan kaedah mesra warga emas, sesuai dengan persediaan negara untuk menghadapi perubahan demografi.
Muhyiddin berkata, jumlah rakyat Malaysia berusia 65 tahun ke atas akan semakin bertambah menjelang 2045, iaitu dengan kadar 14% daripada jumlah keseluruhan rakyat di negara ini.
“Ini pastinya akan membawa cabaran baru bagi perkhidmatan kesihatan yang diperlukan dan pembangunan fizikal.
“Sudah tiba waktunya kita melihat masyarakat yang lebih tua dalam pembangunan nasional dan melihat semula perancangan serta pembangunan fizikal dalam usaha kita memenuhi keperluan komuniti warga emas,” katanya sewaktu berucap pada “Malaysia Urban Forum 2020”, di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, setakat ini 77% penduduk Malaysia tinggal di kawasan bandar, dan menurut statistik akan meningkat kepada 80% atau 26 juta individu menjelang 2030.
Tambahnya, dengan jumlah penduduk yang besar di kawasan bandar, negara sudah tentu akan menghadapi lebih banyak cabaran dalam usaha memenuhi keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.
Selain daripada menguruskan sisa sampah, mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat dan pencemaran udara serta menyediakan perumahan mampu milik, Muhyiddin turut menyeru supaya akses kepada air bersih dijadikan keutamaan.
“Memastikan bekalan elektrik tidak mempunyai gangguan, menyediakan akses berkualiti bagi pengangkutan awam dan telekomunikasi serta mengatasi masalah banjir yang teruk di kawasan bandar,” katanya.