KOTA KINABALU: Pemuda Umno Sabah menyifatkan cadangan taikun peruncitan, Ameer Ali Mydin untuk memotong gaji penjawat awam lebih RM3,000 tidak rasional tanpa persetujuan semua kakitangan kerajaan susulan impak kewangan akibat pandemik Covid-19.
Ketua Penerangannya, Mohd Kurniawan Naim Moktar memberi 4 alasan untuk membantah cadangan itu.
Pertama, katanya, penjawat awam tidak diberikan moratorium selama 6 bulan bagi pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA) seperti yang diberikan bank komersial, walaupun sumber pendapatan mereka tidak terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana kerajaan membayar gaji mereka tepat pada masanya.
“Kedua, persoalan gaji merupakan hak asas yang termeterai antara majikan dan pekerja. Oleh itu, seperti pekerja swasta, penjawat awam juga memiliki hak tersendiri di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam, terutamanya golongan ‘frontliners’ yang bertungkus-lumus dan merisikokan nyawa bagi memerangi Covid-19.
“Maka, pemotongan gaji seharusnya bersifat sukarela secara individu dan bukannya kolektif,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ketiga, kata Kurniawan, laporan Bank Negara menunjukkan jumlah hutang terkumpul penjawat awam sebanyak RM236 bilion, setakat Februari 2018, iaitu 20% daripada keseluruhan jumlah hutang isi rumah di Malaysia.
Katanya, kira-kira 97% daripada keseluruhan penjawat awam direkodkan berhutang, di mana 62% daripada RM236 bilion hutang penjawat awam membabitkan pinjaman institusi kewangan bukan bank.
“Oleh itu, pemotongan gaji penjawat awam akan menyebabkan berlakunya krisis kewangan yang serius dalam kalangan penjawat awam.”
Beliau berkata, statistik pada Oktober 2018 menunjukkan 76% penjawat awam memiliki gaji kurang daripada RM5,000, iaitu peningkatan sebanyak 8% berbanding Februari 2018.
“Maka, cadangan yang diberikan Ameer tidak praktikal untuk dilaksanakan.”
Rabu lalu, Ameer mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya mengekalkan gaji 1.6 penjawat awam.
Pengarah urusan Mydin itu berkata, gaji penjawat awam patut dikurangkan supaya penjimatan dapat digunakan bagi membantu golongan miskin yang paling terkesan dengan pelaksanaan PKP.