Pendawaian tak patuh piawaian punca remaja maut akibat renjatan elektrik

Loke Siew Fook berkata siasatan juga mendapati pemasangan pendawaian dalam bas terbabit dibuat pihak tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

PETALING JAYA: Pendawaian elektrik tidak patuh piawaian menjadi punca berlaku renjatan menyebabkan seorang remaja maut ketika mengecas telefon bimbitnya di sebuah bas ekspres di Terminal Penang Sentral, 2 Nov lalu.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata hasil siasatan pasukan petugas khas mendapati sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke soket dipasang secara terbalik menyebabkan renjatan itu berlaku.

“Pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan oleh pihak tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ditemui maut dengan kecederaan pada jari tangan sebelah kiri.

Mengulas lanjut, walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal diluluskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pada 20 Mei lalu, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu diberi perhatian segera.

“Ini bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Loke berkata pihaknya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada pengendali bas ekspres terbabit iaitu Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn Bhd, dua hari selepas kejadian.

Menurutnya, pihaknya juga telah mengeluarkan surat pemakluman kepada semua pengendali bas menghentikan penggunaan semua soket elektrik 3-pin dengan serta-merta sehingga garis panduan baharu dikeluarkan.

Bagi proses pelesenan pula, Loke berkata pihaknya mewajibkan syarikat pengendali baharu dan sedia ada mengemukakan keputusan laporan berkaitan pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan diiktiraf Jabatan Standard Malaysia.

Source link

Bas EkspresLoke Siew Fookmotrenjatan elektrik.
Comments (0)
Add Comment