MISI sekian lama Malaysia untuk menyertai kelab negara maju nampaknya semakin jauh tergelincir.
Penghijrahan pakar di negara ini adalah tinggi berbanding asas kemahiran yang terhad dengan seorang daripada sepuluh graduan berhijrah pada 2000 – dan ini adalah dua kali berbanding purata dunia, demikian menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Menurut Bank Dunia pada 2011, penghijrahan pakar diburukkan lagi oleh kekurangan aliran masuk bagi menggantikannya dan Malaysia adalah negara penerima utama, tetapi kebanyakan imigran kurang mahir manakala ekspatriat berkemahiran tinggi semakin menyusut sejak 2004. Hari ini, hampir 1.7 juta rakyat Malaysia bekerja di luar negara dengan Singapura menjadi negara pilihan utama (54 peratus) diikuti Australia (15 peratus), United Kingdom (5.0 peratus) dan United States (10 peratus).
Kekurangan prospek kerjaya di Malaysia adalah suatu yang merugikan kerana pasaran pekerjaan domestik belum bersedia bagi pekerjaan bukan tradisional kerana ia hanya menyediakan khusus bagi pekerjaan tradisional seperti doktor, peguam dan jurutera, kata Ketua Jabatan Dasar dan Strategi Peniagaan Universiti Malaya Profesor Madya Dr Norizah Mohd Mustamil.
“Mereka yang menceburi bidang subjek khusus seperti seni atau sains tulen sering dipandang sangsi hanya kerana mereka menyimpang jauh daripada pasaran pekerjaan arus perdana.
“Justeru, untuk meneruskan kelangsungan hidup, mereka terpaksa mencari peluang di luar negara apabila kemahiran unik mereka sebenarnya bernilai. Di negara berkenaan mereka sebenarnya mempunyai peluang baik untuk mencari nafkah,” katanya dalam satu temu bual menerusi e-mel.
Individu berkemahiran tinggi, boleh menyesuaikan diri, berkemahiran dan pengalaman selalunya adalah aset paling bernilai bagi mana-mana negara.
Tenaga kerja ini adalah pembina negara, pemacu di sebalik setiap kemajuan sesebuah negara. Sebenarnya, Malaysia membina kumpulan tenaga kerja tempatan yang besar selama bertahun-tahun ini.
“Namun, kita juga menyedari akan peningkatan kadar penghijrahan tenaga kerja ini,” kata Norizah sambil menambah kurang bersedia untuk menangani isu gaji rendah dan ketidakupayaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur merupakan antara faktor yang menyumbang kepada keputusan sedemikian.
Sebagai contoh, beliau berkata, gaji bagi mereka yang baharu mula bekerja di Kanada bermula pada AS$38,000 setahun (bersamaan dengan RM150,000 setahun) manakala di Malaysia graduan yang baharu tamat belajar memperoleh AS$7,000 setahun (bersamaan dengan RM30,000 setahun).
“Tak perlu jadi pakar matematik untuk mengetahui perbezaan jelas pembayaran itu. Cukup untuk menyatakan bahawa gaji yang boleh mereka dapat di negara maju dan manfaat yang kurang menarik dalam negara menyebabkan rakyat Malaysia berhijrah (bagi mencari peluang kerja),” katanya.
Menurut Bank Dunia, usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi juga akan bergantung kepada bagaimana ia mengendalikan penghijrahan keluar pakarnya, penghijrahan modal insan berkemahiran tinggi.
Menerusi laporannya yang bertajuk Malaysia Economic Monitor pada 2011, bank itu menganggarkan diaspora Malaysia pada 2010 berjumlah satu juta dengan penghijrahan keluar pakar menyumbang satu pertiga daripadanya.
Menurut laporan itu, dengan meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan keterangkuman, Malaysia boleh menangani penghijrahan keluar pakar secara komprehensif dan ia mengesyorkan pembaharuan sistem pendidikan, membaik pulih ekosistem inovasi dan mengorientasikan semula dasar keterangkuman berdasarkan merit dan keperluan.
Source link