Adam Adli berkata, punca utama penghijrahan tenaga mahir seperti pelajar perubatan ke luar negara adalah berpunca dari isu gaji dan peluang pekerjaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kerajaan perlu melihat secara menyeluruh isu penghijrahan tenaga mahir dalam kalangan belia ke luar negara, terutama dari segi permasalahan ekonomi dihadapi mereka.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli berkata, masalah penghijrahan tersebut belum tentu dapat diselesaikan dengan langkah atau dasar sedia ada daripada kerajaan mahupun kementerian sendiri.
“‘Brain drain’ ini ia tidak semata-mata bergantung kepada langkah yang diambil kementerian, kita boleh ambil (langkah-langkah) tapi macam kita tahu, faktor utamanya adalah soal gaji dan peluang pekerjaan.
“Jika kita laksana dasar yang kita harap dapat menangani perkara ini pun belum tentu ia dapat diselesaikan sepenuhnya, sebab kita bercakap soal ekonomi yang mana ia bukan bergerak hanya semata-mata atas kerangka yang dikeluarkan kerajaan,” katanya yang dipetik Berita Harian.
Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan dasar yang lebih menyeluruh seperti kata menteri yang mahu penumpuan diberi kepada isu belia muflis.
“Dalam erti kata lain, tumpuan kepada belia ini bukan setakat pembangunan daripada segi kepimpinan atau prestasi sukan, tapi juga harus beri lebih tumpuan kepada permasalahan ekonomi dihadapi mereka.
“Saya yakin soal ini (brain drain) kalangan belia juga akan diperincikan mulai tahun depan, buat masa sekarang kita masih dalam proses mendapat dan mengumpul input pihak berkaitan,” katanya.
Khamis lalu, bekas dekan fakulti perubatan Universiti Malaya (UM) Dr Adeeba Kamarulzaman berkata sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik institusi berkenaan berhijrah untuk berkhidmat di Singapura setiap tahun.
Menurutnya, keadaan itu disebabkan kegagalan kerajaan menyelesaikan isu dalaman kakitangan penjagaan kesihatan.
Beliau menggesa kerajaan agar memandang serius rungutan kakitangan penjagaan kesihatan untuk membendung “brain drain” (perhijrahan cendekiawan) daripada terus berlaku.