PUTRAJAYA: Seorang penjawat awam kanan yang disabitkan kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal 13 tahun lepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk rayuan terakhirnya didengar.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail membenarkan permohonan Mas Ayu Siti Asmah Hani Zainul selepas tidak mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad.
Hakim lain yang bersidang terdiri daripada Azman Abdullah dan Azmin Ariffin.
RSN Rayer, yang mewakili Mas Ayu selaku peguam berkata, mahkamah meluluskan tiga persoalan undang-undang untuk dihujahkan semasa rayuan.
“Anak guam saya merayu sabitan dan hukuman tersebut kerana beliau mungkin dibuang kerja walaupun Mahkamah Tinggi hanya mengekalkan denda,” katanya.
Mas Ayu, yang bekerja di pejabat setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang, disabitkan kesalahan itu dan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan serta denda RM6,000.
Mahkamah Majistret Sepang pada 10 Jan tahun lepas turut memerintahkan beliau membayar pampasan RM3,500 kepada keluarga mangsa. Dia membayar denda dan pampasan, manakala lesennya diendors dengan butiran kesalahan.
Mas Ayu, 42, dikatakan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa ketika memandu kereta sehingga menyebabkan kematian Fatima Zurwanti Zulkifli, suatu kesalahan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan itu berlaku di bulatan Jalan Persiaran Desa Pinggiran di Sepang kira-kira 6.30 petang pada 14 Jun 2010.
Semasa rayuan, Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos tahun ini mengesahkan sabitan itu tetapi mengetepikan hukuman penjara.