‘Penyertaan luar biasa’, lebih 17,500 sertai pemilihan PKR

PKR dijadual mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April manakala bagi pusat berlangsung pada 24 Mei. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pemilihan PKR merekodkan penyertaan luar biasa dengan lebih 17,500 pencalonan diterima selepas proses penamaan ditutup kelmarin, kata Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Pengerusi Dr Zaliha Mustafa berkata penyertaan dari 222 bahagian itu mencerminkan komitmen tinggi ahli parti dalam mengukuhkan proses demokrasi dalaman yang matang dan inklusif.
“JPP ingin menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang telah menyertai proses ini dengan penuh semangat dan dedikasi.
“Penyertaan besar ini membuktikan bahawa PKR terus menjadi wadah perjuangan yang demokratik, inklusif dan terbuka kepada penyertaan akar umbi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata proses bantahan calon dibuka bermula hari ini sehingga 20 Mac, disusuli proses rayuan terhadap bantahan dari 24 hingga 25 Mac.
“Ia bagi memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua calon bertanding,” katanya.
Sementara itu, bagi calon yang memilih untuk menarik diri atau membatalkan pencalonan, mereka diberi ruang untuk berbuat demikian sebelum 20 Mac.
Menurutnya, senarai muktamad pencalonan bagi bahagian, Pemuda dan Wanita akan diumumkan pada 28 Mac,” katanya.
PKR dijadual mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April manakala bagi pusat berlangsung pada 24 Mei.

Source link

Dr Zaliha MustafaJPPpemilihan PKRPKR
Comments (0)
Add Comment