CEO Capital A Bhd Tony Fernandes berkata beliau menyokong operasi SIAEC di Malaysia, tetapi berkata keterbukaan sama tidak diamalkan di Singapura.
PETALING JAYA: CEO Capital A Bhd Tony Fernandes menggesa untuk lebih ketelusan dari pihak SIA Engineering Company (SIAEC) berhubung amalan merekrut jurutera pesawat daripada Malaysia Airlines.
Fernandes mempertikai dari mana datangnya baki 90% pekerja mereka dan meminta penjelasan berhubung kelayakan serta gaji ditawarkan.
“Apa gaji yang dibayar? Biarlah kita telus. Jadi adakah 90% pekerja yang kamu maksudkan semuanya lepasan sekolah?” soalnya dalam hantaran di LinkedIn, semalam.
Fernandes menegaskan sokongan terhadap operasi SIAEC di Malaysia, namun mengkritik keterbukaan sama tidak diamalkan di Singapura.
“Kami telah lama berusaha mendapatkan kelulusan untuk AirAsia Singapura. Kami berada di lima negara Asean. Rakyat Singapura tidak mempunyai banyak pilihan,” katanya dengan menambah beliau juga pernah cuba membeli syarikat penerbangan tambang rendah di negara itu namun ditolak.
“Jika kita mahukan Asean yang terbuka, Singapura perlu berhenti melindungi pasarannya dan betul-betul bersaing seperti dilakukan Malaysia dan negara Asean lain.”
Pengasas kumpulan AirAsia itu mengulas kenyataan baru-baru ini oleh Naib Presiden Kanan Penyelenggaraan Pangkalan SIAEC Jeremy Yew bahawa hanya 10% daripada pekerja teknikal di Malaysia direkrut dari Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MAB Engineering).
Yew berkata semua pelantikan, termasuk yang diambil dari Malaysia Airlines, dilakukan menerusi proses rekrut terbuka menerusi pameran kerjaya, portal pekerjaan, dan LinkedIn.
Beberapa pihak mempertikai langkah membenarkan SIAEC beroperasi secara tempatan selepas sebuah portal berita melaporkan bahawa 60 pekerja kejuruteraan Malaysia Airlines meletak jawatan seterusnya menyertai firma penyelenggaraan pesawat milik Singapore Airlines itu.
Menurut laporan sebelum ini, SIAEC menandatangani perjanjian 15 tahun dengan Impeccable Vintage Properties Sdn Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional, untuk menyewa dua hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, dengan pilihan untuk melanjutkannya 15 tahun lagi.
Source link