Pesakit Covid-19 lahirkan bayi sihat di Greek

ATHENS: Seorang wanita yang disahkan positif coronavirus selamat melahirkan seorang bayi yang sihat di sebuah hospital di Athens, lapor media Greek, semalam.

Wanita berusia 24 tahun itu dan pasangannya disahkan positif virus itu kelmarin, selepas kedua-duanya menjalani ujian saringan sebelum dia bersalin pada Rabu lalu, bagaimanapun, ujian pertama dijalani bayi berkenaan didapati negatif.

“Virus itu tidak dipindahkan melalui plasenta” kata pengarah perbidanan di Hospital Attikon kepada badan penyiaran rasmi Greek, ERT.

Pihak hospital melakukan persediaan rapi menyambut kelahiran melalui pembedahan itu dengan menyediakan wad tertutup dan doktor yang menyambut kelahiran memakai 3 lapisan sarung tangan, cermin mata pelindung dan topeng.

“Ia adalah satu pengalaman unik” kata pakar obstetrik.

Wanita berkenaan kekal dikuarantin bagi tempoh 14 hari dan hanya dibenarkan memegang bayinya sebaik tempoh itu berakhir.

Source link

Comments (0)
Add Comment