Peserta larian meninggal dunia akibat strok haba di Pahang

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Rusdi Abd Rahman berkata mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

PETALING JAYA: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia di Kuantan semalam akibat strok haba ketika menyertai sebuah program larian sekitar Teluk Cempedak Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Rusdi Abd Rahman berkata mangsa berusia 20-an dari Kuantan itu dipercayai ke Bukit Pelindung untuk aktiviti larian mendaki bermula 6.40 pagi kelmarin.

“Mangsa dijumpai tidak sedarkan diri oleh orang awam di laluan trek pejalan kaki Hutan Bukit Pelindung pada 3 petang. Mangsa terus dikejarkan ke HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) untuk rawatan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata mangsa yang tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA dalam keadaan kritikal, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Menurutnya keadaan mangsa yang diberikan rawatan optimum semakin tenat sebelum meninggal dunia pada 9.39 malam Ahad atas sebab “heatstroke with multi organ failure”.

Rusdi berkata ini kematian kedua akibat strok haba di Pahang, selepas kes kematian pertama membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam sedang menjalani latihan di Bandar Jengka, Maran pada 2 Feb lalu.

“Sehingga kini jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang pada 2024 adalah 18 kes, yang mana 14 kes melibatkan kelesuan haba dan empat kes melibatkan strok haba dengan dua kematian.”

Menurutnya, Jabatan Meteorologi memaklumkan suhu harian di Pahang dalam keadaan terkawal, iaitu kurang daripada 35°C dan julat suhu pada Sabtu lalu dalam lingkungan 24 hingga 33°C.

Beliau menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan komplikasi akibat cuaca panas ketika beriadah atau melakukan aktiviti luar, dengan minum air kosong secukupnya, kurangkan pengambilan minuman berkafein, pakai pakaian ringan, longgar dan berwarna terang, guna topi atau payung serta pendingin hawa atau kipas.

Source link

kematianPahangprogram larianstrok haba
Comments (0)
Add Comment