Lebih 300 anggota PGA bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand sepanjang hari raya kali ini.
PETALING JAYA: Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan berkala 24 jam di kawasan Sungai Golok yang cetek, bagi menghalang pergerakan keluar masuk secara haram sepanjang sambutan Aidilfitri.
Komander Briged Tenggara Sheik Azahar Sheik Omar berkata beberapa cubaan merentas sempadan digagalkan susulan kawalan ketat.
“Kita mengenal pasti kegiatan licik penyeludup yang ‘bekerja’ ketika masyarakat sibuk dengan persiapan serta menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya, lapor Berita Harian.
Menurutnya, lebih 300 anggota bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand sepanjang hari raya kali ini.
PGA turut menempatkan anggota secara statik dan menggunakan khidmat dron, serta menerima bantuan unit udara polis.
Dalam pada itu, Sheik Azahar berkata sebanyak 431 kes jenayah rentas sempadan berjaya ditumpaskan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, membabitkan 373 tangkapan dan nilai rampasan RM18.5 juta.
Rampasan membabitkan barangan kontraban, dadah, dan senjata api, katanya.
Source link