Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, PM Anwar Ibrahim bersetuju beliau diberi peluang dicalonkan sebagai presiden baharu BAM. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan lampu hijau bagi pencalonannya sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2025-2029.
Menurut menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu, Anwar bersetuju beliau diberi peluang berkenaan.
“Beliau beri pertimbangan, memandangkan saya sebagai menteri sehingga Disember ini, jadi selepas itu boleh beri fokus kepada BAM,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri.
Tengku Zafrul berkata demikian selepas Program Iftar Kasih Ukhwah anjuran Yayasan TZA di Kolej Komuniti Kelana Jaya (KKKJ) hari ini, lapor Bernama.
Ogos lepas, Jemaah Menteri memutuskan bahawa anggota pentadbiran kerajaan, termasuk menteri dan timbalan menteri, tidak boleh bertanding jawatan dalam mana-mana persatuan sukan.
Awal hari ini, Pemangku Presiden BAM V Subramaniam mengumumkan, majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu.
Beliau berkata, pencalonan itu mencerminkan keperluan kepimpinan yang kukuh dan stabil bagi memacu badan induk badminton negara itu ke hadapan.
Pemilihan BAM dijadualkan berlangsung semasa mesyuarat agung tahunannya (AGM) pada 10 Mei.
Tengku Zafrul yang menerima pencalonan tersebut berkata menerusi hantaran di platform X, beliau terharu dengan pengiktirafan itu selain kepercayaan terhadapnya untuk memimpin BAM.
Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai presiden BAM bagi menggantikan Norza Zakaria yang pada mulanya bercadang meletak jawatan awal tahun lepas.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Norza mempertimbangkan semula keputusan itu dan kekal memegang jawatan sehingga tamat Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Selepas berakhirnya Sukan Olimpik tersebut, BAM melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden sehingga AGM Mei ini.
Source link