Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 32 dan 42 tahun, direman tujuh hari hingga 10 Mac bagi membantu siasatan bawah Akta Dadah Berbahaya.
PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah, yang dipercayai bergiat aktif sejak bulan lepas, dengan penahanan dua individu dan rampasan dadah jenis MDMA bernilai lebih RM1 juta, dalam serbuan di sekitar Jelutong pada Isnin.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan di depan sebuah kedai, dan pemeriksaan menemukan tiga peket plastik mengandungi serbuk jus MDMA dianggarkan bernilai RM19,706.
Hasil soal siasat dengan lelaki tersebut, polis dibawa ke sebuah tempat letak kenderaan di kawasan sama.
Hamzah berkata, setelah memeriksa sebuah kenderaan, polis merampas 50 botol minuman dipercayai mengandungi 19,700ml cecair jus minuman MDMA bernilai RM15,000, dan 16 cawan berpenutup disyaki mengandungi serbuk MDMA bernilai RM4,800.
“Susulan itu, polis (pergi) ke sebuah unit kondominium di kawasan sama dan menahan wanita warga asing serta merampas 265 peket plastik dipercayai berisi serbuk MDMA, dianggarkan bernilai RM1.12 juta, dan 23 cawan berpenutup, juga dipercayai mengandungi MDMA bernilai RM6,900,” katanya, lapor Bernama.
Hamzah berkata, serbuk MDMA yang dirampas dianggarkan seberat 8.47kg, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.168 juta.
Polis turut menyita sebuah motosikal bernilai RM5,600.
Menurut Hamzah, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu turut positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek yang masing-masing berusia 32 dan 42 tahun itu direman tujuh hari hingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Source link