Semua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM200,000 jika sabit kesalahan.
JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh bookie judi bola sepak sempena Piala Dunia Qatar 2022 di beberapa lokasi di Johor menerusi Op Soga IX bermula Selasa lepas hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata, empat suspek berusia 22 hingga 57 tahun ditahan di sekitar daerah itu kerana dipercayai menjadi ejen bookie pertaruhan dengan nilai had kredit berjumlah RM75,000.
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM5,975 dan empat telefon bimbit yang mempunyai catatan disyaki pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini.
Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah, dalam kenyataan berasingan, pula berkata seorang lelaki berumur 31 tahun ditahan Jumaat lepas di sekitar Batu Pahat kerana dipercayai menjalankan kegiatan judi taruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.
Beliau berkata turut dirampas wang tunai RM185 serta sebuah telefon bimbit dan berdasarkan semakan di telefon bimbit tersebut, suspek mempunyai nilai had kredit pertaruhan berjumlah RM8,000.
Dalam pada itu, Ketua Polis Muar Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata dua lelaki berusia 34 dan 42 tahun ditahan di premis berasingan di Bandar Muar dan Parit Jawa dalam serbuan pada Jumaat hingga semalam kerana disyaki terlibat dengan aktiviti sama.
“Turut dirampas tiga telefon bimbit, peralatan tulis dan wang tunai berjumlah RM585 yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti bookie kejohanan itu,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM200,000 jika sabit kesalahan.