PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima 51 laporan berhubung skim penipuan pelaburan mata wang Forex rentas sempadan melibatkan kerugian hampir RM12 juta.
Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, berkata skim itu didalangi beberapa individu tempatan dan Indonesia dengan menggunakan nama sebuah syarikat beralamat di Indonesia sebagai broker.
“Sehingga kini, dua individu iaitu seorang warga Indonesia dan seorang warga tempatan yang disyaki terlibat dengan skim ini telah ditahan, masing-masing pada 9 Sept dan 25 Okt lepas.
“Dua syarikat lain juga telah dikenal pasti terlibat dalam mempromosikan skim pelaburan ini secara bersemuka kepada pelabur,” katanya menurut Bernama.
Ramli berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan individu yang menjadi mangsa kepada skim pelaburan itu dinasihatkan untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.
“Pihak polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.
“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti portal semakmule CCID, senarai amaran Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.
Source link