PRK Sungai Bakap: Ibu calon PN berkerusi roda keluar mengundi

Calon PN Abidin Ismail bertemu ibu dan kakaknya di pusat pengundian SK Sungai Duri pagi tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ibu calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail gigih melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang hari ini walaupun berkerusi roda.

Che Rifiah Zakaria, 79, yang keluar seawal 7.30 pagi ditemani anak perempuannya Zalina Ismail, 58, menjadi pengundi pertama di pusat pengundian SK Sungai Duri.

Zalina berkata, dengan pendengaran kurang jelas dan mempunyai penyakit darah tinggi, ibunya tetap bersemangat keluar awal mengundi meskipun rumahnya di Kampung Masjid Sungai Duri hanyalah 500m dari pusat pengundian itu.

“Emak bangun awal pagi ini. Dia memang ingat tarikh hari ini dan sudah mengundi lebih dari lima kali pada PRU,” katanya, lapor Bernama.

“Dia kata tidak mahu lepas peluang keadaan tenang pada awal pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan mahu beri sokongan kepada anak ketiganya.”

Terdahulu, Abidin yang mengundi di pusat pengundian sama tiba kira-kira 8.15 pagi dan kelihatan sebak ketika bertemu ibu dan kakaknya yang telah selesai mengundi.

Abidin memberitahu pemberita, beliau berpuas hati dengan perjalanan PRK kali ini dan berharap pengundi keluar beramai-ramai menyatakan sokongan terhadap calon pilihan masing-masing demi menyuburkan proses demokrasi.

Calon PN itu bersaing dengan calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin pada PRK Sungai Bakap hari ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Source link

Abidin IsmailibupengundiPRK Sungai Bakappusat undiSK Sungai Duri
Comments (0)
Add Comment