Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

0

Selepas agak lama kita tidak diperkenalkan dengan model sedan terbaru daripada Proton — terutama selepas kerjasama antara Proton-Geely dan selepas pengenalan tiga SUV: X70, X50 dan X90 — kehadiran Proton S70 bakal mengakhiri penantian tersebut. Kami sempat mendekati model sedan segmen C berkenaan pada awal November 2023, dan kini boleh berkongsi beberapa perkara tentangnya kepada umum.

Seperti yang ramai sudah sedia maklum, Proton S70 menggunakan asas daripada model Geely Emgrand dan bakal menggantikan model Proton Preve dalam pasaran tempatan. Sama juga seperti Preve sebelum ini, Proton memposisikan S70 sebagai sedan untuk berada dalam segmen C — dan bersaing antaranya dengan Toyota Corolla Altis dan Honda Civic. Tetapi harganya pula dijangka akan berada dalam kategori kenderaan segmen B — seperti Honda City dan Toyota Vios. Mengapa begitu?

Ini kerana jika mengikut saiz ukuran dimensi, Proton S70 lebih besar sedikit berbanding kereta dalam segmen B. Walaupun ketika ini masih belum ada sebarang saiz atau ukuran rasmi yang dikongsikan oleh Proton, kita boleh membandingkan dengan model Geely Emgrand di pasaran luar: sedan berkenaan mempunyai ukuran 4,638 mm panjang dan 1,822 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,650 mm.

Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

Angka tersebut adalah 58 mm lebih panjang dan 74 mm lebih lebar jika dibandingkan dengan Honda City, dengan jarak antara rodanya juga 50 mm lebih panjang. Bahkan, Proton S70 lebih panjang dan lebar jika dibandingkan dengan Preve dan Inspira yang menjadi tawaran sedan segmen C Proton suatu ketika dahulu. Disebabkan faktor inilah Proton memposisikannya dalam segmen C.

Namun, model kenderaan dalam segmen C ketika ini juga bertambah besar. Sebagai contoh, Civic FE yang dijual ketika ini adalah 40 mm lebih panjang berbanding S70, dengan jarak antara rodanya 2,735 mm yang juga 85 mm lebih panjang. Posisi “samar-samar” seperti ini membolehkan Proton menggunakan kelebihan itu untuk memasarkannya dengan kelebihan kereta segmen C yang dijual pada harga yang lebih dekat dengan kereta dalam segmen B.

Seperti juga yang kita pernah lihat pada SUV Proton X70, sedan S70 ini menampilkan banyak perbezaan dan lokalisasi berbanding Geely Emgrand yang menjadi model sandarannya. Kekal menggunakan platform B-segment Modular Architecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50, di bahagian depannya, gril bentuk berlian terpampang dan membawa kesegaran serta sedikit kelainan berbanding model Proton-Geely yang lain.

Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

Rekaan busur panah bagaimanapun masih dihadirkan, dibawa dari rekaan sama yang ada pada Proton X90. Ini adalah pendekatan rekaan wajah depan yang sama dipertontonkan untuk model lain Proton sebelumnya: dengan gril dalam rekaan “Infinite Weave” serta “Ethereal Bow” yang dinyatakan tadi — dilengkapi dengan logo harimau terbaru Proton di tengah.

Di belakang mungkin bahagian yang menampilkan rekaan luar paling menarik untuk Proton S70: jalur lampu LED-nya memanjang, dan terdiri daripada 190 biji LED. Ketika kunci di buka, jalur lampu tersebut akan mempamerkan gerakan atau “persembahan” menarik, yang tak pernah ada ditawarkan untuk sedan segmen B sebelum ini. Selain itu, tidak lupa, rekaan rim 17-inci yang diberikan juga merupakan rekaan baru untuk model Proton. Dan, satu lagi “yang baru” untuk S70 — warna hero Teal Bayu Green diperkenalkan pertama kali untuk model ini.

Tentang lokalisasi Proton S70 pula, pembangunannya melibatkan sebanyak 283 pembekal tempatan dengan sejumlah 453 bahagian baru dibangunkan, antara lain melibatkan pertukaran dari tataletak pemanduan sebelah kiri kepada pemanduan sebelah kanan. Untuk tujuan R&D, Proton menghabiskan sebanyak 260,000 jam kerja untuk membangunkan sedan ini untuk pasaran tempatan. Manakala untuk ujian pula, sebanyak 75,000 jam kerja diluangkan dengan jarak ujian keseluruhan meliputi 1.2 juta kilometer telah juga dijalankan bagi memastikan kualiti Proton S70 menepati tahap optimum penggunaan tempatan.

Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

Sedan Proton S70 ini juga mempunyai 145 bahagian yang melibatkan aktiviti pemasangan tempatan serta 24 bahagian yang khusus dibangunkan oleh Proton. Menurut Proton, kandungan tempatan S70 setakat ini berada pada tahap 55%, dengan sasaran untuk mencapai tahap 70% kandungan tempatan dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan.

Hal ini bagaimanapun masih berada di belakang model-model Perodua, yang secara puratanya akan melibatkan 90% kandungan tempatan ketika pelancarannya. Disebabkan hal itu, mungkin akan ada bahagian pada S70 ini yang masih kelihatan menggunakan logo atau nama Geely, misalnya di bahagian sunroof.

Beralih kepada enjin pula. Jika Geely Emgrand menggunakan unit enjin 1.5 liter NA, Proton S70 pula telah disahkan bakal dilengkapi dengan enjin turbo unit 1.5 liter tiga-silinder yang turut digunakan untuk X50 Standard dan Premium, dan bukannya unit 1.5 liter TGDi dengan janaan 177 PS/255 Nm yang digunakan untuk X50 Flagship dan X70 MC.

Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

Sama seperti varian X50 selain Flagship, unit enjin 1.5L PFI tersebut menjana sejumlah 150 PS/226 Nm output untuk Proton S70 juga. Sekadar perbandingan, Civic dengan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC turbo menghasilkan kuasa sebanyak 182 PS dan 240 Nm — 32 PS dan 14 Nm lebih tinggi berbanding Proton S70.

Enjin 1.5 liter turbo PFI tersebut tentunya dipasangkan di Tanjung Malim, Perak, sejak untuk kegunaan SUV X50 lagi. Kini dilanjutkan penggunaannya bagi sedan Proton S70 ini. Sedangkan, enjin 1.5L NA oleh Geely yang digunakan untuk Emgrand pasaran luar pula belum pernah digunakan oleh mana-mana model Proton.

Disebabkan itu jugalah, pemilihan enjin turbo berkenaan boleh dijangka dan merupakan pilihan paling praktikal dari aspek skala ekonomi dan akan memudahkan Proton untuk merencanakan pengeluarannya di sini. Sistem janaan kuasa bagi S70 ini digandingkan pula dengan transmisi klac basah DCT tujuh-kelajuan (7DCT), yang juga sudah pernah digunakan untuk model Proton sebelum ini.

Ruang dalaman Proton S70 juga kelihatan sedikit lebih premium berbanding dengan model Emgrand yang dijual di pasaran Filipina dan juga bahkan di China. Sebagai contoh, tombol gear S70 lebih pendek dengan permukaan sentuhan yang luas, sama seperti yang digunakan untuk model X90, yang tentunya nampak lebih premium.

Lain-lain bahagian yang dikongsi dengan model Proton yang lain termasuklah roda stering yang sama dengan X50. Banyak bahagian dalaman sedan ini juga diberikan material sentuhan lembut, dengan adanya juga corak permukaan yang diilhamkan dari corak songket — terutamanya di bahagian papan pemuka dan perehat lengan di pintu.

Aspek pemanduan dan kendalian juga menurut Proton telah banyak penambahbaikan dilakukan terhadap Proton S70 berbanding Emgrand: S70 ditala dan disesuaikan untuk penggunaan di jalan raya Malaysia, dengan menjadikannya lebih dinamik untuk kawalan yang lebih baik dari segi pemanduan lebih tangkas, dan bukannya dengan tetapan lembut untuk keselesaan maksimum seperti yang diberikan di pasaran lain.

Selain itu, Proton S70 juga hadir dengan tiga mod pemanduan: Eco, Sport dan Comfort. Skrinnya juga dilengkapi dengan saiz 10.3-inci untuk paparan kombinasi meternya, sementara untuk infotainmen ia menerima skrin sentuh bersaiz 12.3-inci — dengan sistem yang hadir bersama kapasiti storan 64 GB serta 6 GB memori.

Seperti yang pernah diperincikan, Proton S70 akan ditawarkan dalam empat varian — Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Beza bagi varian ‘X’ adalah ia melibatkan tambahan ciri sunroof dan juga pilihan warna eksklusif Quartz Black. Tiada lagi varian Standard seperti model lain Proton ditawarkan.

Ketika sesi bersama media, hanya varian Flagship dan Flagship X dipertontonkan. Ciri canggih yang ada pada varian tinggi ini (seperti lampu LED, lampu belakang LED, rim 17-inci, panel meter digital, skrin infotainmen) bagaimanapun tidak ditawarkan untuk varian Executive. Ini mungkin akan menjadikan harga varian asas berkenaan lebih rendah dan membolehkannya lebih mudah diakses oleh ramai pelanggan.

Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

Semua varian menggunakakn sistem janaan 1.5T 7DCT yang sama, hadir dengan enam beg udara, bantuan menukar lorong dan brek parkir elektronik. Varian Executive datang dengan kerusi balutan fabrik, lampu halogen, rim 16-inci dan head unit 8.0-inci. Untuk mendapatkan lampu LED (projektor) dan lampu belakang LED, pelanggan perlu memilih varian Premium, yang juga datang dengan kemasan balutan kulit buatan, kawalan pendingin automatik dan kamera undur.

Untuk sistem bantuan pemandu ADAS pula hanya diberikan untuk varian Flagship ke atas. Ciri seperti AEB dengan amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, amaran penukaran lorong dengan penghindaran, kawalan ke tengah lorong, maklumat papan tanda trafik, kawalan lampu tinggi pintar, amaran titik buta, amaran membuka pintu, amaran perlanggaran belakang dan amaran lintasan trafik belakang.

Varian Flagship juga datang dengan sistem peninjau tekanan tayar, rim aloi 17-inci, dua skrin kokpit (10.3-inci untuk meter, 12.3-inci untuk infotainmen), pengecas tanpa wayar, kerusi pemandu larasan kuasa dan kamera keliling dengan paparan 3D.

Pilihan warna untuk Flagship X pula ada juga Snow White, Space Grey, Marine Blue dan Teal Bayou Green. Dapat juga dilihat daripada gambar yang ada ini, satu unit S70 biru gelap dengan bodykit lengkap. Masih belum ada apa-apa perincian tentang hal ini, jadi perlu menunggu sehingga tarikh pelancarannya nanti.

Ketika sesi taklimat bersama media untuk mendekati Proton S70 ini di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam tempohari juga, kami sempat duduk di dalam kabinnya dan melakukan pandu uji ringkas untuk merasakan sendiri apa yang ada untuk ditawarkan oleh sedan ini, dalam persekitaran litar ujian Proton tentunya.

Antara yang menarik untuk dinyatakan di sini adalah, terdapat dua set model penanda aras dan juga pesaing yang turut dibawakan sebagai perbandingan — walaupun satu set daripadanya tidak begitu ada kena-mengena dengan model dalam segmen yang dihuni S70.

Di bawah khemah, turut dipamerkan secara statik bersama Proton S70 ialah model BMW 2 Series Grand Coupe dan juga Mercedes-Benz A Class Sedan — yang dihasratkan sebagai perbandingan. Ini kami rasakan sebuah perbandingan yang tidak setara dan sama sekali tidak tepat, tetapi Proton mempunyai alasan yang tersendiri. Proton ingin menunjukkan betapa syarikat itu yakin yang kualiti buatan dan penggunaan material, terutamanya di bahagian dalaman S70, sudah banyak peningkatan dan semakin menuju ke arah penawaran premium menerusi dua contoh yang dinyatakan itu.

Walaupun mungkin ada kebenarannya bahawa kualiti kabin Proton S70 lebih menarik dan ada rasa premium kini, tetapi ia bukanlah untuk dibandingkan dengan model dari BMW atau Mercedes-Benz. Perbandiangan statik yang lebih masuk akal tentulah dengan Honda Civic dan juga Toyota Corolla Altis dari segmen C, segmen yang selalu disebut Proton untuk memposisikan S70 ini.

Set pesaing kedua lebih berjejak, dengan Proton menampilkan dua sedan dari segmen B, iaitu Honda City dan juga Toyota Vios. Mengapa dua model ini dihadirkan? Tentulah untuk memberi petunjuk kepada tanda harga yang bakal diletakkan untuk Proton S70 nanti. Tetapi, apa yang lebih menarik ialah ujian yang melibatkan S70 dengan sedan segmen B ini ialah prestasi pecutan dari kedudukan pegun.

Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

Sekurang-kurangnya untuk unit yang disediakan ketika itu, memang ada terasa perbezaan penyampaian S70. Sistem janaan kuasa Proton S70 dengan jelas mempunyai kelebihan dari aspek ini. Ia memang memerlukan sedikit masa untuk melonjak dari kedudukan statik, namun sebaik sahaja sudah mendapat momentum pecutan dalam garis lurus, S70 terus mendahului di depan — hanya setelah mencecah kelajuan 100 km/j, barulah brek ditekan.

Honda City, dengan kotak gear CVT, terasa bermula agak perlahan dan berat, manakala Toyota Vios yang paling lambat untuk sampai kepada kelajuan tersebut di antara ketiga-tiganya. Dari sini, kombinasi enjin 1.5 liter turbo pada Proton S70 dengan 7DCT ternyata memberi kelebihan dari sudut prestasi.

Ketika ujian laluan slalom juga S70 menunjukkan kemampuan kendalian yang meyakinkan. Suspensinya tidak terlalu lembut sehingga membuatkan kereta ini kuat beroleng dan susah dikawal, tetapi dalam masa yang sama ia cukup selesa untuk dipandu dalam keadaan biasa. Ini kompromi yang dilakukan terhadap S70 berbanding Emgrand, khusus untuk keadaan pemanduan di Malaysia. Hal yang sama dapat diperhatikan ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata: hentakannya tidak banyak dirasakan, dan keadaan dalam kabin tetap selesa dan begitu senyap.

Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

Bercakap tentang kabin, ruang dalaman S70 berada dalam kelompok yang sama seperti pesaingnya dari segmen B iaitu Vios dan City. S70 tidak dirasakan mempunyai keluasan yang terlalu jauh berbeza daripada Vios — dan ruang kepala untuk bahagian belakang Vios memang agak terhad. Untuk S70, pemandu dan penumpang bahagian depan mungkin lebih mudah untuk berada dalam keadaan selesa dengan ruang yang memadai. Tetapi, penumpang di bahagian belakang mungkin perlu bertolak ansur dengan ruang kaki yang sedikit terhad, apa lagi jika pemandu atau penumpang depan adalah orang yang tinggi.

Tidak dinafikan kelengkapan atau ciri yang ada dalam ruang kabin Proton S70 ini lebih menawan dan menarik berbanding City dan Vios. Lihat bahagian skrinnya sahaja sudah cukup untuk menunjukkan hal ini. Begitu juga dengan material sentuhan lembut serta corak songket yang dimaksudkan, ia memberikan sedikit kelebihan kepada S70, dan menyuntik elemen tempatan dengan bergaya.

Berdasarkan pengalaman ringkas bersama Proton S70, agak jelas model sedan terbaru berkenaan mempunyai kelebihan berbanding model sedan dari segmen B yang lain, bahkan tidak berlebihan jika dinyatakan ia mengatasi dari beberapa sudut, terutamanya dari segi prestasi kerana penggunaan enjin turbonya. Untuk dibandingkan dengan pesaing segmen C ketika ini, S70 mungkin perlu diberikan peningkatan lain untuk berada setara dengan penawaran pesaing yang dimaksudkan itu.

Proton S70 2024 diperinci dan diuji — 1.5T 7DCT, 150 PS/226 Nm; sedan segmen C tapi harga Vios?

Semua ini akan jadi lebih menarik, bergantung kepada tanda harga yang akan diletakkan untuk Proton S70. Kami jangkakan ia akan berada dalam julat yang tidak begitu jauh dari pesaing segmen B, dengan varian Executive yang paling asas mungkin berada pada takat yang lebih mudah diakses oleh kebanyakan orang. Apa pun, untuk harganya, kita perlu tunggu sehingga pelancarannya nanti.

Jadi, setakat ini, apa pandangan anda tentang Proton S70 terbaru?

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.



Source link

Leave A Reply
Bitcoin (BTC) RM457,058.13
Ethereum (ETH) RM17,432.70
Tether (USDT) RM4.45
BNB (BNB) RM3,266.44
USDC (USDC) RM4.45
XRP (XRP) RM10.73
BUSD (BUSD) RM4.35
Cardano (ADA) RM5.43
Solana (SOL) RM1,054.31
Dogecoin (DOGE) RM1.96
Polkadot (DOT) RM47.69
Polygon (MATIC) RM3.17
Lido Staked Ether (STETH) RM17,408.52
Shiba Inu (SHIB) RM0.000139
Dai (DAI) RM4.45
TRON (TRX) RM1.49
Avalanche (AVAX) RM233.44