Selepas majlis pecah tanah pembinaan kilang EV pertamanya di Tanjong Malim pagi tadi, Proton turut mengambil kesempatan untuk menyerahkan sebuah Proton S70 kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Perak yang bakal digunakan untuk tugas-tugas rondaan di daerah itu termasuk di kawasan Tanjong Malim sendiri.
Kereta berkenaan disampaikan oleh ahli lembaga pengarahnya, Ahmad Jauhari Yahya serta disaksikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, CEO Proton Dr. Li Chunrong, timbalan CEO Proton Roslan Abdullah dan lain-lain. Kami difahamkan hanya sebuah sahaja S70 ini diserahkan kepada IPD Muallim.
Berdasarkan spesifikasi yang dapat dilihat seperti paparan instrumen digital sepenuhnya tetapi tidak diberikan bumbung suria, S70 yang diserahkan ini adalah dari varian Flagship. Kesemua varian S70 menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo berkuasa 150 PS/226 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.
Kereta yang diserahkan ini sudah lengkap dengan grafik badan terkini Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga lampu strob dan siren polis di atas bumbung.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.