PRUDENTIAL BSN Takaful Berhad (PruBSN) memperkenalkan produk terbaharu PruBSN Aman iaitu aplikasi mudah alih pertama di Malaysia yang dicipta berlandaskan konsep takaful ta’awun (pertolongan bersama) dan rakan ke rakan (P2P) untuk memberikan perlindungan dan manfaat khairat yang mudah, telus dan berpatutan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, peserta hanya perlu membayar sumbangan pendahuluan RM120 sekali saja.
“Daripada jumlah ini, RM30 akan dikenakan sebagai caj wakalah pendahuluan dan baki RM90 akan dimasukkan dalam akaun bersama.
“Wang dalam akaun bersama terbabit akan menjadi milik peserta dan hanya akan ditolak untuk menolong membayar kos tuntutan kematian, sekiranya berlaku kematian dalam kalangan peserta,” katanya pada sidang media pelancaran PruBSN Aman secara maya, semalam.
Menurutnya, sekiranya peserta meninggal dunia, pewaris berhak menerima perlindungan nyawa RM7,000 berserta pakej manfaat khairat jika penama ingin menggunakan khidmat pengebumian.
Bagaimanapun katanya, sekiranya perkhidmatan pengurusan pengebumian tidak diguna pakai atau penama ingin membuat urusan pengebumian sendiri, pihak penama akan menerima jumlah penuh sebanyak RM10,000.
PruBSN turut menjalin kerjasama dengan MyAngkasa Mukmin dalam menguruskan pengebumian mengikut perundangan dan istiadat Islam.
Katanya, bagi memudahkan pelaksanaan pendekatan P2P ini secara berkesan, peserta boleh memperkenalkan PruBSN Aman kepada kenalan dan ahli keluarga dan jika mereka melanggan aplikasi itu, PruBSN akan memberi ganjaran kepada perujuk dengan yuran rujukan sebanyak RM5 yang akan dimasukkan ke dalam akaun bersama peserta.