PETALING JAYA: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mempertahankan saranannya sebelum ini agar orang ramai mengurangkan “permintaan” bagi membendung kenaikan harga barangan.
Beliau berkata, keanjalan dalam permintaan perlu diwujudkan sebagai satu mekanisme permulaan bagi kawalan harga supaya kuasa pengguna dapat dikembalikan.
“Untuk selesaikan masalah, kita perlu pastikan ekosistem harga barang lebih anjal,” katanya di Twitter.
“Sementara kerajaan usahakan langkah-langkah jangka sederhana dan panjang, (termasuk) perbaiki rantaian bekalan untuk hentikan monopoli, kawalan harga tanpa ganggu kelangsungan bekalan, (dan) pelaburan berskala tinggi.”
Tambahnya, beliau tidak pernah lari daripada “perkara kontroversi” sekiranya ia dapat menyelesaikan masalah.
“Jangan takut dgn pandangan umum,” katanya.
“Rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta.”
Terdahulu, Rafizi dilaporkan berkata, langkah pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang dijual pada harga yang tidak berpatutan akan memberi isyarat kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
Katanya, biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar harga yang ditawarkan pembekal.
Kenyataannya ini mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk orang ramai dan ahli ekonomi Noor Azlan Ghazali yang menyifatkan penyelesaian ditawarkan menteri ekonomi itu “tidak wajar” dan “terlalu mudah”.