Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), mengumumkan pelantikan Rizal Nainy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia yang baharu, berkuat kuasa 21 Julai 2020.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Rizal Nainy memiliki pengalaman luas dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan keusahawanan.
Katanya, Rizal Nainy juga sudah menyertai SME Corp sejak 1 Jun 2016.
“Beliau sebelum ini adalah Ketua Pegawai Pelaksanaan dan Pemantauan di SME Corp
yang bertanggungjawab untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan program pembangunan PKS di Malaysia.
“Dengan pengalaman luas lebih 20 tahun di kedua-dua sektor awam dan korporat, Rizal Nainy akan menerajui dan memperkukuhkan lagi operasi dan perkhidmatan SME Corp dalam memaju dan membangunkan PKS di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum menyertai SME Corp, Rizal Nainy mempunyai pengalaman selama enam tahun dalam bidang transformasi strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merangka strategi dan memacu program transformasi ekonomi.
Beliau ditugaskan bagi projek berprofil tinggi seperti bidang ekonomi utama Elektrik dan
Elektronik (terutamanya dalam LED, Semikonduktor, Solar dan Elektronik Industri),
Inovasi, Nanoteknologi, Kenderaan Elektrik, Rel, Grid Pintar serta melaksanakan
Program Kejuruteraan Semula Pengurusan dan Perniagaan.
Selain itu, beliau juga berpengalaman selama 16 tahun dengan syarikat Shell di peringkat tempatan dan global, dan memegang pelbagai jawatan serta mempunyai kepakaran profesional merangkumi perniagaan runcit hiliran minyak dan gas.