Kuala Lumpur: Kumpulan AirAsia merancang memperluas perkhidmatan penghantaran runcitnya, airasia fresh ke Pulau Pinang serta pasaran Asean termasuk Jakarta dan Bangkok tahun ini.
Ketua airasia fresh, Maybel Chan berkata, syarikat itu juga mempelawa rakan dagang yang berpotensi bekerjasama dengan pihaknya, sekali gus memanfaatkan 75 juta pangkalan pelanggan AirAsia di seluruh rantau ini.
“Kami komited mengembangkan perkhidmatan ini ke seluruh rantau terutama bagi menyumbang kepada ekonomi tempatan serta membantu pembekal menjangkau lebih ramai pelanggan.
“Malah, platform airasia fresh ini dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan terutama sebagai rakan penghantaran kami yang dikenali sebagai Teleporters,” katanya pada majlis pelancaran Fresh Pack airasia fresh secara maya di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Maybel berkata, pek barangan runcit tersuai atau Fresh Pack itu tersedia mengikut saiz kecil atau besar dalam empat kategori iaitu sayuran, buah, daging dan makanan laut.
Menurutnya, untuk meraikan pelancaran Fresh Pack dan sempena Tahun Baharu Cina, airasia fresh menawarkan diskaun 50 peratus untuk setiap pembelian Fresh Pack kedua dari 2 hingga 28 Februari 2021.
“Selain itu, kami masih menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma tanpa had sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan kod promo STAYHOME untuk perbelanjaan minimum RM30,” katanya.
Sementara itu, Tony berkata, objektif utama kumpulan adalah untuk membantu peniaga terutama dalam situasi tidak menentu sepanjang pandemik Covid-19.
“Kami mempunyai ramai kakitangan AirAsia seperti kru kabin, juruterbang dan lain-lain yang telah dipilih semula untuk menjadi sebahagian daripada Allstars Delivery Squad.
“Ini adalah sebahagian usaha kami untuk menghidupkan kembali ekonomi tempatan kerana 100 peratus rakan dagang airasia fresh adalah syarikat Malaysia dan antaranya datang dari Ourfarm yang bekerjasama secara langsung dengan petani tempatan,” katanya.
Buat masa ini, airasia fresh mempunyai lebih 200 peniaga tempatan dengan menawarkan lebih 3,000 produk serta perkhidmatan penghantaran ke seluruh Lembah Klang.