Rancang guling kerajaan, 25 ditahan di Jerman

Polis mengiring seorang suspek yang ditahan susulan serbuan terhadap ‘warga Reich’ di Frankfurt. (Gambar AP)
BERLIN: Polis Jerman hari ini menahan 25 anggota dan penyokong kumpulan haluan kanan ekstrem yang didakwa merancang menggulingkan kerajaan, termasuk melancarkan serangan bersenjata di Parlimen.
Pendakwa berkata, kumpulan itu diinspirasikan teori konspirasi Qanon dan Reichsbuerger yang tidak mengiktiraf keabsahan Jerman moden, sebaliknya menganggap “Deutsche Reich” masih wujud walaupun Nazi dikalahkan ketika Perang Dunia Kedua.
Perancangan itu menyasarkan untuk meletakkan seorang anggota keluarga diraja Jerman, dikenali sebagai Heinrich XIII PR, sebagai pemimpin negara itu, manakala seorang lagi suspek, Ruediger v. P, sebagai ketua sayap tentera, kata pejabat pendakwaan.
Heinrich menggunakan gelaran putera dan dilahirkan dalam keluarga diraja Reuss yang memerintah di Jerman Timur.Keluarga diraja Reuss sebelum ini mengasingkan diri daripada Heinrich malah menyifatkannya “keliru” dan melayani teori konspirasi, menurut laporan media.Heinrich dikatakan menghubungi wakil Rusia yang dianggap titik utama bagi mewujudkan pentadbiran baharu ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada bukti bahawa wakil Rusia berkenaan memberi maklum balas positif terhadap permintaan itu.
Kedutaan Rusia di Jerman dipetik agensi berita RIA berkata, institusi diplomatik dan konsulat negara itu di Jerman tidak berhubung dengan wakil kumpulan pengganas atau haram.
Menteri Dalam Negeri Jerman Nancy Faeser berkata kerajaan tidak akan berlembut terhadap mana-mana pihak yang berusaha mewujudkan pemberontakan. Siasatan juga akan mendedahkan sejauh mana perancangan menggulingkan kerajaan itu telah dilakukan.
“Siasatan memberi bayangan sejauh mana ancaman keganasan oleh pengikut Reichsbuerger,” katanya dalam kenyataan.

Seorang anggota tentera dan beberapa askar simpanan antara mereka yang disiasat, kata jurucakap perkhidmatan risikan tentera kepada Reuters.
Penyiasat mengesyaki beberapa kumpulan itu merancang serangan bersenjata terhadap Dewan Bundestag Parlimen di Berlin.

Source link

Comments (0)
Add Comment