Nampak gayanya usaha Rapid Kl dalam menyediakan perkhidmatan van Demand Responsive Transit (DRT) di Lembah Klang mendapat sambutan di kalangan para penggunanya. Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2023 dalam ujian rintis, kini DRT menjadi perkhidmatan tetap selain bas perantara, yang tersedia di stesen tren kendalian Rapid KL.
Bagi memenuhi permintaan yang makin tinggi, Rapid KL bakal menyediakan 300 unit van lagi untuk tujuan perkhidmatan DRT ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ia adalah satu usaha untuk memastikan penumpang tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen tren, dan juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Katanya, van baharu itu akan mula beroperasi secara berperingkat antara Februari dan Jun.
“Dua puluh van digunakan sejak tahun lalu dan ia menjadi popular. Ramai yang suka sebab kami caj cuma RM1 sehala. Jadi mulai Mac, 300 van baharu akan mula beroperasi secara progresif setelah kami mendapat van baharu,” kata Loke dalam sidang media hari ini.
Selaku pengendali pengangkutan awam Rapid, Presiden Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pihaknya sedang merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan DRT di kawasan baharu di sepanjang laluan tren Putrajaya, Kajang dan Ampang, serta di kawasan yang kini tiada perkhidmatan rel atau bas Rapid.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.