Setelah lebih 30 tahun menyanyikan lagu popular ‘Hijau’, Datuk Zainal Abidin hari ini telah memperkenalkan sebuah naskah terbaharu berjudul ‘Tiba Masa’, yang merupakan kesinambungan kepada lagu pertama nyanyiannya secara solo itu. Dihasilkan sempena meraikan empat dekad legasinya di dalam industri muzik tanah air, lagu ‘Tiba Masa’ telah mendapat sentuhan emas daripada komposer yang disegani, Michael Veerapen, yang bertindak sebagai pencipta lagu, dan dilengkapi dengan bait-bait lirik tulisan Mukhlis Nor.
Dikenali ramai sebagai seorang penyanyi bergenre ‘world music’ dan kerohanian, lagu-lagu nyanyian Datuk Zainal Abidin banyak berkisarkan tentang kemanusiaan dan alam sekitar, lagu-lagunya sering mencuri perhatian para pendengar dan diterima oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Menurut Datuk Zainal Abidin, idea menghasilkan lagu berdurasi tiga minit lebih itu tercetus apabila saban hari semakin banyak isu pencemaran dan kemusnahan alam sekitar menjadi liputan utama akhbar.
Datuk Zainal Abidin
“Saya sudah ingatkan orang ramai semasa menyanyikan lagu ‘Hijau’ 30 tahun yang lalu bahawa kita perlu menjaga alam sekitar, namun tidak ramai yang ambil peduli, akhirnya sekarang kita menanggung akibatnya,” ujar Datuk Zainal Abidin.
Beliau sememangnya lantang dalam menyokong usaha untuk mengekalkan pemuliharaan dan keseimbangan ekologi dalam persekitaran semula jadi planet, demi kesejahteraan generasi semasa dan akan datang, selari dengan konsep kelestarian alam sekitar yang gigih diperjuangkan.
Para peminat Datuk Zainal Abidin yang ingin mendengar lagu ‘Tiba Masa’ boleh strim lagu tersebut di kesemua platform muzik digital seperti Spotify, Deezer, Itunes, Huawei Music dan di platform media sosial Facebook, Instagram serta Tiktok.
Turut dilancarkan pada majlis tersebut adalah video muzik ‘Tiba Masa’ yang telah diarahkan sendiri oleh isteri Datuk Zainal Abidin, Datin Angelina Asmawi. Mengambil masa hanya 2 jam sahaja untuk melengkapkan penggambaran, video muzik tersebut mengetengahkan teknologi AI terkini, pertama seumpamanya di Malaysia.
Dengan mengetengahkan latarbelakang alam sekitar, video muzik tersebut telah dipersembahkan buat pertama kalinya kepada para hadirin di majlis tersebut sebelum diikuti dengan persembahan secara langsung daripada Datuk Zainal Abidin.
Peminat-peminat yang ingin menonton video muzik tersebut boleh ke saluran Youtube
Datuk Zainalabidin
Pengarah Urusan Bsync Live, Adam Mazelan turut membuat pengumuman kepada media, berkenaan sebuah konsert yang turut menggunakan nama lagu terbaharu Datuk Zainal Abidin, iaitu Konsert “Tiba Masa Zainalabidin” yang bakal dilangsungkan pada 30 September 2023 nanti di Panggung Sari, Istana Budaya.
Menurut Adam, tiket-tiket konsert telah pun mula dijual sejak 4 Ogos 2023 yang lalu di www.ticket2u.com.my dan sambutan yang diterima setakat ini amatlah menggalakkan. Menawarkan enam tier tiket pada harga bermula RM169 untuk tempat duduk Aras 2 sehingga RM865 untuk tempat duduk kategori Emas, Adam mensasarkan tiket akan habis terjual untuk konsert yang bakal berlangsung untuk satu malam tersebut.
Datuk Zainal Abidin dijangka akan membuat persembahan tanpa henti selama 2 jam dengan diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapen. Selain menyanyikan lagu-lagu popular, turut menjadi tarikan konsert “Tiba Masa” adalah kemunculan istimewa Datuk Zainal Abidin bersama kumpulan Headwind yang bakal menyampaikan lagu-lagu hit mereka seperti Suraya, Pelangi, Segalanya Mungkin, dan Hanya Di Radio.
Kali terakhir kemunculan Headwind bersama Datuk Zainal Abidin dalam sebuah persembahan adalah sewaktu konsert Datuk Zainal Abidin pada 5 tahun yang lalu.
Orang ramai yang ingin mengetahui kisah-kisah di sebalik tabir sekitar persiapan Datuk Zainal Abidin untuk konsert ini boleh mengikuti platform media sosial Facebook dan Instagram @tibamasa.zainalabidin atau klik link berikut untuk pautan yang lebih pantas: