RM1.3 bilion rampasan kilang proses e-waste haram

Komander Briged Utara Shahrum Hashim, berkata 14 warga China dan 10 warga Myanmar antara ditahan dalam Op Hazard, di sebuah kilang di Jalan Sungai Siput-Kuala Kangsar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: RM1.3 bilion. Itu nilai rampasan terbesar dalam tempoh lima tahun dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta ke atas kegiatan proses sisa elektrik dan elektronik (e-waste) haram, di sebuah kilang di Jalan Sungai Siput-Kuala Kangsar.

Komander Briged Utara Shahrum Hashim, berkata serbuan Op Hazard pada semalam turut mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, melibatkan kawasan seluas 4.8 hektar.

“Serbuan ini dibuat selepas risikan menggunakan teknologi dron selama sebulan di premis tersebut yang telah menjalankan operasi di kawasan ini secara haram sejak sembilan bulan lepas.

“Rampasan melibatkan lebih 1,000 beg jumbo seberat satu tan metrik setiap satu dan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.6 juta. Setiap beg ini mengandungi pelbagai barangan e-waste termasuk tembaga, timah, dan aluminium,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Sungai Siput.

Shahrum berkata selain rampasan, sebanyak 27 individu ditahan terdiri daripada dua warga tempatan, 14 warga China, dan 10 warga Myanmar serta seorang kanak-kanak berusia dua tahun dipercayai anak kepada seorang pekerja warga Myanmar.

“Mereka yang ditahan lingkungan usia dua hingga 60 tahun, manakala dua warga tempatan tersebut dipercayai pemilik dan penyelia kilang.

“Semua warga asing tersebut telah diserahkan kepada imigresen untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrum berkata e-waste tersebut dipercayai diimport dari beberapa negara seperti Bolivia, Thailand, Oman, India, dan Amerika Syarikat untuk diproses di kilang tersebut sebelum dieksport semula bagi pelbagai tujuan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JAS Perak Muhamad Rizal Ramli, berkata kesalahan dilakukan premis tersebut tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kilang berkenaan didapati mempunyai dua kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi mengikut Seksyen 18(1) serta kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) di bawah Seksyen 34 A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Beliau berkata, sampel rasmi semua e-waste itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mendapatkan komposisi buangan sebelum tindakan pendakwaan dibuat.

Source link

e-wasteJASMuhamad Rizal RamliperakPGAShahrum Hashim
Comments (0)
Add Comment