Antara produk tidak berdaftar dan mengandungi steroid anabolik yang dirampas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Melaka. (Gambar Bernama)
MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas 642 produk mengandungi steroid anabolik dan tidak berdaftar bernilai RM8.3 juta dalam Ops Pharma Rabu lalu.
Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata operasi itu yang turut disertai pelbagai agensi bermula 2 petang hingga 10.30 malam menyerbu tujuh premis, termasuk rumah dan stor.
“Tindakan diambil rentetan aduan awam berkaitan penjualan produk steroid anabolik menerusi platform e-dagang. Operasi turut menahan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun serta merampas lima peranti digital,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati penjualan produk itu dilakukan secara aktif sejak dua tahun lalu dengan semua produk itu diimport dari beberapa negara dan dijual dalam talian.
“Steroid dikategorikan racun terkawal dan kerap disalah guna untuk tujuan membina otot badan. Jadi, ia perlu diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi kerana penyalahgunaan boleh merosakkan buah pinggang, ketidakseimbangan hormon dalam badan serta terdedah kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.”
Katanya, penjualan produk tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.
Beliau berkata, mereka didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua bagi kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, manakala bagi kesalahan memiliki racun berjadual bagi tujuan jualan tanpa lesen racun boleh dihukum di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.”
Orang ramai boleh melaporkan sebarang penjualan produk tidak berdaftar melalui www.pharmacy.gov.my, portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) mana-mana DPF berhampiran atau hubungi 03-78413200.
Related Posts