RUU perkhidmatan parlimen, Perlembagaan Persekutuan akan dibentang

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas dalam sidang Parlimen kali ini.

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas dalam sidang Parlimen kali ini untuk diluluskan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah penting dalam mereformasi institusi demokrasi negara.

“RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata bagi RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula, ia akan dibawa bagi membolehkan speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen tersebut.

“Jemaah Menteri turut memutuskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said akan membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin ini,” katanya.

Bacaan kali kedua pula dijangka dilakukan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada 4 Mac.

“Langkah ini adalah bukti iltizam kerajaan Madani terhadap usaha melaksanakan agenda reformasi serta memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara,” katanya.

Source link

dewan rakyatRUU perkhidmatan parlimenRUU Perlembagaan Persekutuan
Comments (0)
Add Comment