Sarawak membekalkan secara purata sejumlah 89.6MW tenaga elektrik ke Kalimantan, Indonesia sejak September 2016 sehingga September tahun ini.
KUCHING: Sarawak akan mengeksport tenaga elektriknya ke Sabah menjelang 2024 apabila projek penjanaan dan penghantaran di “Northern Grid Extension” itu siap kelak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi berkata, buat masa ini, projek bekalan elektrik ke Sabah itu masih dalam peringkat rundingan komersial.
“Pembekalan elektrik sebanyak 30MW ke Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) disasarkan pada 2024 bergantung kepada siapnya projek ‘Northern Grid Extension’,” katanya dalam ucapan penggulungan bajet negeri 2023 di DUN Sarawak, di sini hari ini.
Julaihi berkata, jumlah tenaga yang dieksport itu melibatkan 2% daripada kapasiti sedia ada, iaitu berjumlah 5,996MW.
“Untuk rekod, penggunaan elektrik di Sarawak sekarang berjumlah 4,398MW. Ini bermakna kita masih mempunyai baki sebanyak 1,478 MW yang mencukupi untuk kegunaan dan keperluan dalam negeri, termasuk penyambungan bawah Skim ‘Additional Late Applicant Fund’,” katanya.
Tambah Julaihi, stesen-stesen jana kuasa baharu yang sedang dirancang dan dibina termasuk Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) di Miri, CCGT di Samalaju, serta Sistem Solar Terapung di Empangan Batang Ai dan Empangan Baleh, yang dijangka siap antara 2023 hingga 2028.
Selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pusat kuasa tenaga Asia Tenggara, Sarawak telah membekalkan secara purata sejumlah 89.6MW tenaga elektrik ke Kalimantan, Indonesia sejak September 2016 sehingga September tahun ini.