Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas, berkata menjadi tugas kerajaan memastikan semua projek dilulus dilaksana mengikut jadual. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Cadangan memendekkan tempoh kelewatan projek sakit di Sarawak kepada 30 hari, berbanding 100 hari bagi membolehkan Jabatan Kerja Raya melakukan campur tangan awal, kata Douglas Uggah Embas.
Timbalan premier Sarawak berkata, kelewatan kontraktor tidak melaksanakan projek dengan aktif hingga 30 hari jelas memperlihatkan ketidakcekapan mereka.
“Kami mengadakan perbincangan dan merasakan tempoh 100 hari terlalu lama…jadi, kami cuba sedaya upaya untuk melihat bagaimana kita boleh mengurangkan ia kepada 30 hari sahaja,” katanya menurut Bernama di Spaoh, Betong.
Uggah yang juga menteri infrastruktur dan pembangunan pelabuhan negeri, berkata cadangan memendekkan tempoh projek sakit bukan bermaksud ingin menyusahkan kontraktor.
“Tetapi, tugas kami ialah memastikan semua projek yang diluluskan mesti dilaksanakan mengikut jadual bagi mencapai objektif mereka,” katanya.
Beliau berkata, bilangan projek sakit di Sarawak telah berkurangan secara drastik, daripada lebih 100 kepada hanya dua projek setakat ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKR Sarawak akan mengambil 414 pegawai baharu untuk mengendalikan projek semakin bertambah yang bakal dilaksanakan di negeri itu, susulan petunjuk oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg bahawa belanjawan negeri mungkin mencecah RM20 bilion pada masa depan.
“Dengan bajet yang besar, jelas sekali terdapat keperluan untuk JKR meningkatkan atau menambah baik kapasiti dan keupayaan dalam proses pelaksanaan. Lagipun, masih ada jalan yang perlu dibina, dinaik taraf, dan diselenggara di beberapa kawasan,” katanya.
Terdahulu, Uggah melakukan upacara pecah tanah untuk menaik taraf Jalan Mara/Selangking/Nanga Sela/Tanjung Paoh yang menelan belanja sebanyak RM16 juta, serta jalan Spaoh bernilai RM20 juta.
Source link