Sejak bila bekas menteri ada kemudahan kenderaan? Radzi persoal Anwar

Bekas menteri pendidikan Radzi Jidin mempersoalkan kenyataan Anwar Ibrahim yang membatalkan kemudahan kenderaan kepada bekas menteri.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin mendakwa Anwar Ibrahim cuba mencipta fitnah susulan kenyataan perdana menteri yang membatalkan kemudahan kenderaan kepada bekas menteri.
Radzi mempersoalkan kenyataan Anwar dua hari lalu ketika sidang media di Putrajaya yang membatalkan kemudahan itu sebagai langkah penjimatan.
Bekas menteri pendidikan itu mendakwa, Anwar cuma mencipta isu yang sememangnya tidak wujud.
“Ini fitnah apa pula? DSAI (Anwar) kata, beliau telah batalkan kemudahan kereta untuk bekas-bekas menteri yang baru ini.

“Soalnya, sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta? Batalkan perkara yang tak wujud? Bantu banteras fitnah ini, tolong kongsi-kongsikan,” katanya di Facebook.
Rabu lalu, Anwar berkata, cadangan memansuhkan atau mengurangkan pencen bekas anggota Jemaah Menteri tidak munasabah kerana perkara berkaitan pencen termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, setakat ini, tindakan yang boleh dilaksanakan sebagai langkah penjimatan adalah membatalkan kemudahan kereta untuk bekas menteri.
“Yang saya lakukan adalah bekas-bekas menteri yang baharu ini dapat kemudahan biasa dan kereta, semua itu saya batalkan. Setakat ini lebih baik dari segi pentadbiran dan tidak melibatkan perlembagaan,” kata Anwar.

Source link

Comments (0)
Add Comment