PETALING JAYA: Tarif air baharu bagi kategori domestik di Perak dinaikkan lima sen bagi setiap meter (m) padu mulai 1 Mei ini, kenaikan julung kali dalam tempoh 18 tahun.
Penetapan kadar baharu itu jauh lebih rendah daripada kadar purata 22 sen yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Pejabat Menteri Besar Perak berkata, kenaikan itu menunjukkan peningkatan kepada 75 sen setiap m padu, berbanding 70 sen bagi penggunaan sehingga 20m padu sebulan, manakala 21m hingga 35m padu ditetapkan pada kadar RM1.08 berbanding RM1.03.
Bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, katanya, Lembaga Air Perak (LAP) memberi rebat 40 sen 1m padu bagi penggunaan sehingga 10m padu pertama sebulan yang bersamaan RM4 sebulan.
“Dengan rebat itu, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20m padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap m padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.
“Caj minimum bagi penggunaan domestik pula adalah RM7.50, sebelum mengambil kira pemberian rebat. Selepas mengambil kira rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding kadar sekarang RM3,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, penetapan tarif baharu itu tidak menjejaskan program air percuma 25m padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20m padu untuk rumah ibadat.