Lim Kit Siang adalah salah seorang daripada 99 Ahli Parlimen PH yang mengundi menentang pelanjutan Seksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi pada sidang Dewan Rakyat Julai lepas.
PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan agar menyelesaikan reformasi undang-undang terhadap “peruntukan drakonian” bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus mengutamakan reformasi undang-undang itu bagi membanteras penyalahgunaan Sosma.
Lim berkata, pentadbiran terdahulu pimpinan Ismail Sabri Yaakob telah memulakan rundingan dengan pihak berkepentingan tetapi memerlukan lebih masa untuk melaksanakan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pada 2019.
“Kerajaan Anwar harus menyelesaikan rundingan yang dimulakan oleh pentadbiran Ismail berhubung pemansuhan peruntukan drakonian bawah Sosma, dan membentangkan pindaan Akta itu pada sesi Februari,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, beliau adalah salah seorang daripada 99 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang mengundi menentang pelanjutan Seksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi pada sidang Dewan Rakyat Julai lepas.
Seksyen 4(5) Sosma membenarkan polis menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari bagi siasatan, tanpa perintah mahkamah.
Subseksyen ini akan disemak setiap lima tahun dan akan berhenti berkuat kuasa melainkan, selepas semakan, satu resolusi diluluskan oleh kedua-dua dewan Parlimen untuk melanjutkan tempoh penguatkuasaan peruntukan itu.
Minggu lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa kerajaan tidak akan mengkaji semula Sosma.
Kenyataan itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk anggota kerajaan perpaduan pimpinan PH, Ahli Parlimen PH, NGO hak asasi manusia dan aktivis. Mereka menuduh PH tidak menepati kata-kata untuk memperbaharui undang-undang tersebut.
Bagaimanapun, pemansuhan Sosma bukanlah antara perkara yang dijanjikan dalam manifesto PH untuk PRU15 baru-baru ini.
Walaupun menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang pindaan kepada Akta itu buat masa ini, Saifuddin kemudiannya mengakui bahawa peruntukan tertentu dalam Sosma perlu dikaji semula “dari semasa ke semasa”.