LIMA: Kerajaan Peru dan Ecuador pada Rabu mengisytiharkan situasi kecemasan kesihatan selama tiga bulan disebabkan wabak selesema burung, selepas gelombang kes mengakibatkan puluhan juta ayam itik dilupuskan di Eropah dan Amerika Syarikat.
Peru melaporkan cetusan jangkitan pertama virus jenis A H5 yang sangat patogenik pada awal November, sejurus selepas Mexico berkata ia akan mula memberi vaksin kepada burung di kawasan berisiko tinggi.
Mengisytiharkan situasi kecemasan di seluruh negara, perkhidmatan kesihatan pertanian Peru mengarahkan supaya semua burung yang terbabit dalam cetusan jangkitan yang dikesan dilupuskan dan ditanam sekurang-kurangnya sedalam 2m.
Pegawai perkhidmatan hidupan liar dan perhutanan Peru, Doris Rodriguez, memberitahu stesen radio RPP bahawa kira-kira 13,800 burung telah mati akibat selesema burung, termasuk kira-kira 10,000 ekor burung pelikan, terutamanya di kawasan utara dan tengah negara.
Di Ecuador, cetusan jangkitan mula-mula dikesan pada hujung minggu di sebuah ladang ayam itik di wilayah Andes, Cotopaxi, yang membawa kepada langkah kuarantin diambil merentasi kawasan yang berpotensi dijangkiti.
Kira-kira 180,000 ekor burung di kawasan itu akan dilupuskan bagi mengelak penularan virus, kata Kementerian Pertanian Ecuador. Kerajaan menjamin keselamatan penggunaan telur dan daging ayam.
“Untuk 90 hari akan datang, pemindahan burung, produk dan produk sampingan daripada burung seperti telur, antara lainnya, dari ladang yang terkesan oleh cetusan jangkitan itu tidak dibenarkan,” kata kementerian.
Pihak berkuasa tempatan berkata, penularan yang dikesan membabitkan hanya 0.15% daripada populasi ayam itik negara, yang terdiri daripada kira-kira 263 juta ayam dan 16 juta burung bertelur. Sektor ayam itik menjana sekitar 23% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian Ecuador.
Di AS, selesema burung mengorbankan sejumlah 50.54 juta burung tahun ini, kerana penyakit itu membunuh haiwan terbabit serta petani melupuskan seluruh kawanan untuk membendung penyebarannya. Ini mengakibatkan harga telur dan daging ayam belanda mencapai paras tertinggi.