Shafie Apdal membangkitkan kepentingan MA63 dilaksanakan ketika pertemuan dengan Anwar Ibrahim hari ini.
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Shafie Apdal.
Presiden Warisan berkata, ia perlu dilakukan walaupun secara berperingkat.
“Dalam pertemuan tadi, saya ada membangkitkan tentang pentingnya perjanjian itu dilaksanakan.
“Ia mungkin boleh dibuat secara berperingkat namun mesti dilakukan dengan serius kali ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Anwar di pejabatnya di Putrajaya, menurut Sinar Harian.
Mengulas keperluan melantik timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak, Shafie berkata tiada perbincangan terperinci diadakan setakat ini.
Beliau berkata, sebaliknya pertemuan bersama Anwar lebih tertumpu kepada kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.
“Kita tak bincang secara terperinci (jawatan TPM). Kita tunggulah waktunya,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan nama untuk membarisi Jemaah Menteri, Shafie berkata perkara itu juga belum dibincangkan secara terperinci.
“Kita ada bincang tentang perjalanan pentadbiran dan pandangan tentang pentingnya laksanakan amanah dengan baik kerana harapan rakyat terhadap pemerintahan yang ada pada hari ini.
“Kita harap ia akan dapat dilaksanakan. Ia bukan mudah, saya tahu banyak halangan,” katanya.