‘Susenji Mofa+’ dikesan mengandungi sennosides, manakala produk ‘Fabulous Boom Chocolate Flavour’ didapati mengandungi sibutramine. (Gambar SFA)
PETALING JAYA: Agensi Makanan Singapura (SFA) memberi amaran kepada pengguna supaya tidak membeli atau mengambil produk pelangsingan badan dari Malaysia dikenali sebagai ‘Susenji Mofa+’ selepas ia dikesan mengandungi sennosides, sejenis ubat untuk merawat sembelit.
Sennosides boleh menyebabkan sakit perut, kekejangan, cirit-birit dan paras kalium rendah, yang berpotensi membawa kepada kelemahan otot atau kekejangan.
SFA turut mengesan kehadiran sibutramine dalam produk ‘Fabulous Boom Chocolate Flavour’, ubat pelangsingan yang diharamkan di Singapura kerana dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung dan strok.
Walaupun ‘Fabulous Boom Chocolate Flavour’ tidak menyatakan secara jelas negara asal keluarannya, gambar yang dikeluarkan SFA menunjukkan logo pensijilan MeSTI pada bungkusan produk tersebut. Pensijilan itu adalah wajib bagi syarikat pengeluaran makanan di Malaysia.
‘Fabulous Boom Chocolate Flavour’.
SFA dalam satu kenyataan berkata pihaknya bekerjasama dengan platform e-dagang untuk menurunkan senarai produk berkenaan dan mengarahkan penjual menghentikan segera penjualan produk tersebut.
“SFA tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjual dan membekalkan produk makanan tidak selamat yang mengandungi bahan terlarang atau membahayakan,” katanya.
Penjualan makanan tidak selamat adalah dilarang di bawah Seksyen 15 Akta Jualan Makanan Singapura.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga SGD5,000 (RM17,400) bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan denda sehingga SGD10,000 (RM34,900), hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
Source link