SMM fail tindakan mahkamah terhadap bekas CEO

Sabah Mineral Management Sdn Bhd berkata, pihaknya memfailkan tindakan undang-undang ‘untuk menjaga kepentingannya, serta kerajaan negeri dan rakyat Sabah’.

PETALING JAYA: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak terhadap dua individu atas dakwaan berlakunya penipuan dan salah laku lain.

SMM berkata, prosiding itu dimulakan ‘untuk menangani dakwaan serius salah laku dan pecah amanah’ melibatkan bekas ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Jontih Enggihon, dan seorang lagi individu.

Jontih sebelum ini menafikan wujudnya sebarang salah laku dan mengumumkan rancangan untuk memfailkan saman RM30 juta terhadap SMM dan dua pihak lain, memetik wujudnya ‘konspirasi jahat’ untuk menjejaskan reputasinya.

SMM yang menyelia semua kegiatan perlombongan di Sabah berkata, tindakan undang-undangnya turut melibatkan dakwaan berlakunya pelanggaran kewajipan fidusiari dan kerahsiaan, mengubah dokumen rasmi, konspirasi untuk merosakkan dengan cara yang menyalahi undang-undang, dan potensi wujudnya pakatan sulit dengan pihak ketiga.

“SMM mengambil langkah ini untuk menjaga kepentingannya, serta kerajaan negeri dan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.

“Syarikat akan terus mengekalkan standard tertinggi tadbir urus korporat dan kekal mempunyai akauntabiliti terhadap negeri dan rakyat.”

SMM berkata, kertas kausa telah diserahkan dengan sewajarnya kepada defendan di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, sekali gus memastikan pemberitahuan sewajarnya mengenai prosiding itu.

Katanya, laporan juga telah dibuat kepada agensi penguatkuasaan, termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘untuk menyokong siasatan yang lebih luas dan pematuhan terhadap kewajipan kawal selia’.

“Syarikat itu kekal komited untuk menegakkan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan sumber mineral Sabah dan memastikan semua operasi sejajar dengan piawaian undang-undang dan etika,” katanya.

Pada Selasa, SPRM mengumumkan pihaknya telah menyelesaikan siasatannya dan menyerahkan semua kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

Dalam siasatan yang bermula pada November lepas itu, badan pencegah rasuah itu memanggil Jontih dan beberapa Adun untuk dirakam kenyataan.

Siasatan bermula selepas beberapa siri video, yang diperoleh daripada pemberi maklumat, diterbitkan oleh Malaysiakini, didakwa mendedahkan amalan rasuah dalam pengeluaran lesen cari gali.

Beberapa dokumen sulit turut dibocorkan di media sosial oleh individu yang tidak dikenali.

Jontih pada masa itu menafikan dakwaan beliau bersubahat dengan ‘pemberi maklumat’ dalam perkara itu. Katanya, dakwaan bahawa beliau menjadi orang tengah antara ‘pemberi maklumat’ dengan Adun adalah palsu.

Beliau juga berkata, beliau mempunyai dokumen yang menunjukkan wujudnya skandal rasuah dan bersedia menyerahkannya kepada SPRM.

Source link

ADUNJontih Enggihonkewajipan fidusiarilesen cari galipemberi maklumatpenipuansabahsalah lakusamansiasatanskandal rasuahsmmsprm
Comments (0)
Add Comment