Subsidi diesel untuk pengusaha feri bermula 1 Jan

Subsidi diesel dijangka membantu mengurangkan beban kos operasi, khususnya kos bahan bakar, bagi pengusaha feri, bot penumpang dan feri Roro, kata Loke Siew Fook.
PUTRAJAYA: Pengusaha feri, bot penumpang dan perkhidmatan feri Roll On Roll Off (Roro) di pulau-pulau utama akan menerima subsidi diesel berkuat kuasa 1 Jan depan.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kira-kira 40 pengusaha akan menikmati subsidi berkenaan.
Katanya, para pengusaha yang terlibat boleh mengemukakan tuntutan pertama subsidi diesel pada atau sebelum 20 Feb.
“Harga siling diesel bersubsidi bagi feri, bot penumpang dan perkhidmatan feri Roro di pulau-pulau utama ditetapkan pada RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi sebanyak 50 sen seliter,” katanya pada sidang media.
Subsidi itu akan dibekalkan di laluan-laluan strategik perkhidmatan pengangkutan itu, iaitu di Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang.
“Pemberian subsidi itu sejajar dengan keprihatinan kerajaan Madani untuk memastikan keberlangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya.
Loke berkata, subsidi itu dijangka memberikan impak positif dengan mengurangkan beban kos operasi, khususnya kos bahan bakar.
Antara syarat permohonan adalah pengusaha mesti berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan pihak berkuasa.
Pengusaha yang layak perlu mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Selain itu, tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar ditetapkan Kementerian Kewangan setiap bulan.
Pengusaha juga perlu mengemukakan dokumen tuntutan yang disahkan oleh Jabatan Laut kepada Kementerian Kewangan serta satu salinan kepada stesen kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 hari bulan bagi bulan berikutnya.
Loke berkata, meskipun pemberian subsidi bertujuan meringankan kos operasi, namun menjadi tanggungjawab pengusaha untuk memastikan mutu perkhidmatan dan aspek keselamatan dipertingkatkan agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih efisien serta berdaya saing kepada pengguna.
Beliau sekali lagi memberi amaran kepada pengusaha mendapat subsidi yang menaikkan harga tambang tanpa persetujuan Kementerian Pengangkutan bahawa pemberian subsidi bukan sahaja boleh dibatalkan malah lesen operasi juga akan ditarik balik.

Source link

bot penumpangKementerian KewanganKementerian PengangkutanLoke Siew Fookpengusaha ferirorosubsidi diesel
Comments (0)
Add Comment