PETALING JAYA: Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan dukacita dan kecewa dengan kejadian serangan bom petrol membabitkan cawangan KK Mart Sungai Isap, Kuantan awal pagi tadi.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mohamed Zahari Yahya berkata Sultan Abdullah telah menitahkan supaya pihak polis memberi perhatian serius serta tindakan tegas dan segera dalam perkara itu.
“Baginda mengecam sekeras-kerasnya dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang serta kepercayaan agama yang sentiasa menitikberatkan keamanan dan kemakmuran.
“Baginda menyeru seluruh rakyat, khususnya rakyat Pahang, supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu-gugat keharmonian yang dinikmati selama ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Sultan Abdullah titah semua pihak menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak melampaui batas.
Beliau berkata, baginda turut mengingatkan rakyat supaya menghormati proses undang-undang yang telah diambil kerajaan berhubung dengan kes penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah.
“Sehubungan itu bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini, baginda menyeru semua rakyat supaya berdoa agar Pahang dan Malaysia sentiasa diberkati dan dirahmati,” katanya.
Insiden di KK Mart Sungai Isap telah menyebabkan kebakaran kecil di hadapan pintu masuk kedai serbaneka itu. Sebelum ini, cawangan KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak turut mengalami nasib serupa.
Hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis akan mengerah seluruh kekuatan bagi mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di Malaysia susulan insiden tersebut.
Source link