KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan syarikat penerbangan dari negara Asean dijangka boleh membuat persinggahan di mana-mana destinasi rantau ini.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata kebenaran itu hanya boleh direalisasikan selepas negara Asean bersetuju untuk menandatangani pemeteraian ‘protokol 5’ mengenai hak persinggahan di rantau ini.
“Protokol ini penting untuk syarikat penerbangan kerana walaupun kita ada polisi langit terbuka, penerbangan (ketika ini) hanya pergi satu tempat dan kembali ketempat asal, dengan adanya protokol ini mereka boleh singgah dan pergi ke tempat lain dalam negara Asean.
“Ini merupakan penambahbaikan, kemajuan dalam sektor penerbangan di peringkat Asean,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri Pengangkutan Asean ke-30.
Loke bagaimanapun tidak menyatakan dengan tepat bilakah inisiatif itu dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ketika ini Myanmar dan Indonesia belum menandatanganinya.
Beliau turut memberi contoh, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura tidak perlu berpatah balik ke destinasi asal, sebaliknya boleh meneruskan perjalanan ke negara lain.
Sementara itu, Loke berkata melalui mesyuarat tersebut pihaknya berhasrat mencapai kesalinghubungan antara negara Asean terutama berkaitan pengangkutan, mempermudah fasiliti pergerakan penumpang dan kargo.
“Ini juga merupakan agenda Malaysia kerana kita yakin dengan adanya hubungan yang baik, kita yakin bawa kepada pembangunan ekonomi,” katanya.