Tahun 2022 telah melakar sejarahnya yang tersendiri dimana pemilihan Perdana Menteri ke-10 melibatkan pelbagai pihak. Parti Politik nak bergabung satu hal. Malah, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga merujuk Majlis Raja-Raja. Ruby bangga dengan tindakan pantas YDPA dan Raja-Raja Melayu. Dirgahayu Tuanku.
24 November 2022 tepat jam 5PM, sejarah Malaysia tercipta. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10. Terus udara sekeliling berubah di saat menonton lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di lstana Negara. Menitis air mata. Elok pula hujan renyai-renyai di Ukay Perdana ni.
Inilah keunikan Pemerintahan Beraja dalam Sistem Demokrasi Malaysia. Sistem pemerintahan Raja BerPerlembagaan dan Demokrasi BerParlimen, pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang mula dilaksanakan ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957 adalah cukup bermakna kerana ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi.
PERBINCANGAN KHAS RAJA-RAJA MELAYU PADA 24 NOVEMBER 2022
Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Negara hari ini bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.
Kenderaan rasmi dari Istana Johor antara terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 9.40 pagi dengan membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, diikuti konvoi kenderaan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada 10.21 pagi.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pula berangkat tiba pada 10.29 pagi, disusuli Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10.46 pagi, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pintu utama Istana Negara ditutup pada 11 pagi.
Perbincangan khas itu akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata Seri Paduka telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu di Istana Negara.
“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu susulan daripada sesi menghadap wakil-wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan di Istana Negara semalam manakala sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) secara berasingan pula pada Selasa.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lepas berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.
Pada PRU itu, PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), masing-masing menang satu kerusi.
Sementara itu, hari ini juga berlangsung proses penamaan calon bagi pilihan raya kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang yang diadakan serentak susulan kematian calon di kedua-dua kerusi berkenaan sebelum hari pengundian PRU15. – MalaysiaKini
ISTIADAT MENGANGKAT SUMPAH PERDANA MENTERI KE-10
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada pukul 5 petang.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diriingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Sejurus mengangkat sumpah, Ahli Parlimen Tambun itu menandatangani beberapa dokumen berkaitan sebelum upacara itu diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.
Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Pemimpin parti politik yang hadir ialah pemimpin parti komponen PH iaitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.
Turut hadir, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, serta anak-anak dan menantu Anwar.
Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya umum berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.
PRU15 pada 19 Nov menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.
Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-PRU15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui PH. – BERNAMA
SIDANG MEDIA PERTAMA PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-10
Selepas perlantikan, pastinya kita sebagai rakyat menanti sidang media PM10. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia Ke-10 ditemani isteri Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail mengadakan sidang media secara langsung dari Sg Long, Kajang, Selangor.
Antara intipati kenyataan media pertama Dato’ Seri Anwar Ibrahim (24 November 2022) sebagai Perdana Menteri:
1. Komited mempertahankan Perlembagaan – Bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan kaum Melayu tanpa meminggirkan hak kaum Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak serta Orang Asli
2. Pemerintahan dibentuk dengan dukungan padu dan mantap dari tiga gabungan terbesar yakni Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak
3. Kerajaan akan menjamin dan menjaga hak semua rakyat Malaysia khususnya golongan yang terpinggir dan melarat tanpa kira bangsa dan agama
4. Fokus nombor satu saat ini adalah agenda pengukuhan ekonomi
5. Melawan rasuah dan penyelewengan secara serius dan habis-habisan dengan menggerakkan agenda reformasi tatakelola (‘governance’) pemerintahan
6. Usul Undi Percaya akan menjadi agenda pertama sewaktu Sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini
7. Tetap menolak untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri
8. Isnin, 28 November 2022 ini adalah CUTI UMUM seluruh negara
ANWAR IBRAHIM #DemiPertiwi
SELAMAT BERTUGAS DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Jom kita doakan agar Allah s.w.t memberkati kepimpinan DSAI, dipermudahkan segala urusan dan dapat melaksanakan tanggunjawab sebaiknya. InsyaAllah!