Tak puas hati TAPS Sg Jernih lewat, Fadillah ke tapak tinjau kemajuan

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof (kaca mata hitam) meninjau projek TAPS Jernih bersama kontraktor dan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

ALOR GAJAH: Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof turun ke tapak pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih untuk meninjau kemajuan projek, kerana tidak berpuas hati dengan kelewatan akibat masalah teknikal.

Sehingga 25 Okt, kemajuan sebenar projek yang bermula pada 2022 itu adalah 60.52%, berbanding kemajuan dirancang 61.32% dengan kelewatan selama 43 hari.

Projek bernilai RM234 juta itu untuk menyelesaikan isu sumber air mentah terhad yang dialami di daerah ini, selain mengurangkan kebergantungan Melaka pada bekalan air mentah dari Negeri Sembilan dan Johor.

“Kerana itulah saya turun padang dan panggil kontraktor untuk bentangkan pelan pemulihan bagaimana mereka hendak siapkannya,” katanya kepada pemberita selepas lawatan.

Fadillah, yang juga timbalan perdana menteri, berkata projek ini dijangka dapat disiapkan pada Mei 2025.

Dengan kapasiti 14,000 juta liter air mentah, TAPS Jernih dijangka mampu memenuhi keperluan penduduk Alor Gajah sehingga tahun 2030.

Ia membabitkan pembinaan stesen muka sauk bagi mengalihkan air mentah dari Sungai Rembau dan mengepam air melalui paip saluran sepanjang lima kilometer ke Empangan Jernih, selain mampu menjadi sumber simpanan bekalan air selama 90 hari pada musim kemarau.

Fadillah menegaskan TAPS Jernih sebagai ‘sangat kritikal’ kerana projek-projek lain akan bergantung padanya.

“Kalau ikut taklimat daripada kontraktor, dia kata bulan Mei boleh siapkan, jadi kita minta jaminan dan aku janji daripada mereka,” katanya.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh turut menyertai tinjauan tapak ini, yang merupakan sebahagian siri pertama jelajah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) Skuad Zon Selatan.

Petra Skuad adalah inisiatif turun padang untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas langsung mengenai isu tenaga dan air tempatan, serta mencari solusi dalam merangka pelan tindakan.

Source link

Fadillah YusofMelakapetraProjek Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS)
Comments (0)
Add Comment