Tanggung rugi RM40 juta | Harian Metro

PERSATUAN Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA) mendedahkan kerugian lebih RM40 juta terpaksa ditanggung ahlinya sehingga akhir bulan lalu kesan daripada penularan wabak Covid-19 di Malaysia sejak awal tahun ini.

Presidennya, Tan Sri Richard CK Koh berkata, sepanjang tempoh itu, jumlah pengunjung secara purata turut berkurang antara 20 hingga hampir 50 peratus kesan daripada wabak terbabit yang cukup menjejaskan perniagaan mereka.

“Sejak Covid-19 melanda negara, MAATFA sudah pun mengambil langkah segera dengan menyarankan semua ahli supaya melakukan pembersihan di taman tema mereka secara lebih kerap dan teliti selain menyediakan pembersih tangan di sekitar taman tema masing-masing.

“Perkara ini dibuat sejak awal lagi demi memastikan kebersihan di taman tema berada pada tahap tertinggi dan meyakinkan pengunjung untuk datang.

“Selain itu, MAATFA juga menggalakkan pengendali taman tema khususnya lebih 50 ahli kita untuk mengadakan promosi dan tawaran istimewa bagi menggalakkan orang ramai terus mengunjungi taman tema kita,” katanya.

Beliau berkata, sejak beberapa hari kebelakangan ini, jumlah pengunjung ke taman tema didapati kembali meningkat dipercayai disebabkan orang ramai sudah bosan duduk di rumah atau kembali yakin untuk meluangkan masa di taman tema.

“Kita harap senario ini akan berterusan sampai bila-bila meskipun wabak Covid-19 masih belum selesai.

“Langkah lebih khusus perlu diambil untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan dan memastikan kesinambungan taman tema di negara ini khususnya taman tema milik tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Phua Tai Neng berkata, pihaknya berharap kerugian berjumlah RM500 juta yang direkodkan lebih 3,600 ahlinya hasil pembatalan tempahan untuk pakej pelancongan ke luar negara susulan wabak Covid-19 tidak akan meningkat.

“Kerugian ini merangkumi semua pakej pelancongan antarabangsa termasuk tiket penerbangan, penginapan dan pelbagai lagi elemen pelancongan yang sudah ditempah oleh rakyat Malaysia membabitkan perjalanan sehingga Mei tahun ini namun dibatalkan pelanggan.

“Kita masih mengumpul maklumat daripada ahli bagi jumlah kerugian untuk pelancongan domestik dan menjangka laporan diperoleh dalam seminggu dua lagi,” katanya.

Source link

Comments (0)
Add Comment