PEMAJU hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd merekodkan tempahan kediaman yang meningkat 45 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Lee Tian Hock berkata, ia membabitkan nilai berjumlah RM703 juta berbanding RM400 juta pada bulan sebelum PKP.
“Walaupun semua pekerja hanya bekerja dari rumah, tetapi usaha mereka untuk meningkatkan jualan melalui media sosial memberangsangkan.
“Kita jangan jadikan PKP dan pandemik Covid-19 sebagai alasan tidak boleh bekerja kerana ternyata usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya menaikkan jumlah tempahan rumah pada musim PKP,” katanya pada sidang media selepas program derma darah di sini.
Bagi memastikan 2,200 pekerja di tapak pembinaan bebas Covid-19, Lee berkata, pihaknya akan menanggung sepenuhnya proses saringan.