Teraju utama jana pertumbuhan ekonomi

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) melalui gerakan koperasi akan terus berperanan sebagai antara peneraju utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan lebih enam juta ahli yang kebanyakannya daripada golongan B40, entiti terbesar itu turut bersedia menghadapi segala cabaran dan membantu memenuhi hasrat kerajaan di bawah kepemimpinan baharu menangani isu rakyat khususnya kos sara hidup.

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh berkata, gerakan koperasi dengan semangat barunya berupaya memainkan peranan sebagai salah satu peneraju utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Inisiatif SKM seperti pelancaran Kedai Harga Patut (KHP) Koperasi di seluruh negara membantu untuk menyedia dan meningkatkan aksesibiliti dan ketersediaan barangan kepada seluruh pengguna dengan harga berpatutan.

“Hingga Disember 2019, sektor pemborongan dan peruncitan koperasi menyumbang kepada perolehan berjumlah hampir RM1 bilion dengan rangkaian bekalan dan logistik serta 25,000 kedai runcit yang digemblengkan di seluruh negara untuk menangani masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat,” katanya.

Menurutnya, usaha itu membuktikan kerajaan dan gerakan koperasi sentiasa mendengar keluhan rakyat dalam menghadapi apa saja masalah dalam kehidupan seharian mereka.

“Saya yakin gerakan koperasi bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan memainkan peranan sewajarnya untuk membantu memenuhi hasrat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri baharu,” katanya.

Source link

Comments (0)
Add Comment