PETALING JAYA: Sebuah gabungan peniaga emas menggesa kerajaan menetapkan nilai ambang tinggi bagi pembelian barang kemas daripada logam itu yang boleh dikenakan cukai barang bernilai tinggi (HVGT).
Seruan itu dibuat Persekutuan Persatuan Perniagaan Emas dan Barang Kemas Malaysia (FGJAM) yang bimbang cukai dianggarkan pada kadar antara 5% dan 10% memberi kesan kepada rantaian industri.
Pelaksanaan HVGT sepatutnya bermula bulan depan namun ditangguhkan Kementerian Kewangan memandangkan kerajaan perlu menjalankan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk memuktamatkan butirannya termasuk skop barangan dan nilai ambang berkaitan.
Bercakap kepada FMT, Presidennya Chiah Hock Yew berkata pengenaan cukai itu akan menambah beban pengusaha memandangkan emas mempunyai sistem tukar beli berbeza dengan industri lain.
“Kita bimbang pengguna dan pelabur berdepan cukai berulang jika cukai barang bernilai tinggi dikenakan (pada semua peringkat harga).
“Sebab itu kita minta nilai ambang lebih tinggi bagi produk emas yang dikenakan cukai berkenaan,” katanya yang turut mencadangkan barangan kemas emas dikecualikan daripada cukai barangan mewah.
“Kami harap kerajaan dapat buat penilaian dan pertimbangan itu dengan serius untuk mengurangkan beban pengguna dan rantaian industri.”
Pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan pengenalan HVGT ke atas barangan mewah seperti barang kemas dan jam tangan sebagai usaha menambah hasil kerajaan untuk belanja pembangunan.
Chiah berkata, ketika ini permintaan terhadap barang kemas emas agak baik kerana ramai pengguna mengambil kesempatan membelinya sempena Aidilfitri.
“Tetapi keadaan mungkin berubah selepas ini terutama apabila cukai itu berkuat kuasa…harga emas naik menyebabkan penurunan daya membeli.
“Sesetengah pengguna mungkin memilih untuk menunggu seketika atau memilih pelaburan lain…ini mungkin beri cabaran kepada industri emas,” katanya.