BANGKOK: Thailand mengesahkan 35 kes baru jangkitan Covid-19, menjadikan keseluruhannya 212 kes di negara itu.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Dr Suwannachai Wattanayingcharoen berkata kes baru yang disahkan itu terdiri daripada 2 kumpulan.
Kumpulan pertama melibatkan 29 kes, termasuk 13 individu yang berkunjung ke Stadium Muay Thai yang sesak, 4 lagi mengunjungi pusat hiburan di Thong Lo, manakala 12 lagi adalah kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Kumpulan ke-2 terdiri daripada 6 kes baru, termasuk seorang pelancong dari Kemboja, 4 pekerja di sebuah kondominium dan satu lagi kes masih disiasat punca jangkitan.
“Sehingga kini, 212 kes Covid-19 dilaporkan di Thailand dengan satu kematian. Seramai 169 pesakit sedang dirawat di hospital, manakala 42 pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital.
“Tiga pesakit berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.
Suwannachai berkata, pihak berkuasa berjaya mengesan 89 daripada 132 umat Islam Thai yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.
“Sebelas orang jatuh sakit dan 2 daripada mereka disahkan positif Covid-19.”
Sementara itu, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha berkata, Thailand kekal dalam fasa 2 penularan dan tidak menolak kemungkinan penyebaran virus itu secara meluas.
Beliau memberi jaminan kerajaan memberi keutamaan kepada langkah menangani penularan Covid-19 kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat.
“Apabila jangkitan menurun, kerajaan akan memperkenalkan langkah perlu untuk memulihkan ekonomi dan masyarakat. Kami sentiasa memantau dengan terperinci situasi dalam negara dan dunia.
“Kerajaan akan mengambil langkah sesuai dengan perkembangan terkini virus itu,” katanya dalam ucapan mengenai usaha kerajaan Thai mencegah penularan Covid-19.
Untuk mengurangkan penyebaran virus itu dari Bangkok ke wilayah lain, Prayuth berkata, semua pihak perlu bersedia, mewujudkan persefahaman dan menggabungkan usaha untuk mengatasi situasi mencabar ketika ini.
Source link