Thailand lanjut pengecualian visa pelancong Malaysia 60 hari

Pengecualian untuk pelancongan Malaysia ke Thailand dilanjutkan daripada 30 hari kepada 60 hari bermula 1 Jun ini. (Gambar Bernama) 
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia antara pelancong yang dibenarkan melawat Thailand tanpa visa selama 60 hari bermula hari ini, antara usaha Bangkok untuk meningkatkan industri pelancongan negara itu.
Sebelum ini, pengecualian visa hanya dibenarkan selama 30 hari.
Jurucakap kerajaan Thailand Chai Wacharonke berkata Jemaah Menteri meluluskan beberapa langkah kemudahan visa untuk meningkatkan industri pelancongan termasuk pengecualian visa, meluaskan senarai visa ketibaan, dan memperkenalkan kategori baharu visa.
Berkuatkuasa hari ini, katanya, pelawat dari 93 negara termasuk Malaysia, boleh memasuki Thailand tanpa syarat visa untuk tinggal hingga 60 hari, meningkat berbanding 57 negara sebelum ini.
Sebagai tambahan, senarai negara yang layak mendapat visa ketibaan ditambah daripada 19 kepada 31.
Bagi nomad digital yang mahu tinggal lebih lama dan bekerja secara jauh di Thailand, tempoh visa dilanjutkan dari 60 hari kepada lima tahun.
Antara langkah lain diperkenalkan adalah membenarkan pelajar asing universiti tinggal selama setahun selepas graduasi, melonggarkan syarat insurans untuk pesara warga asing yang tinggal lebih lama, lapor Bernama.
Menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, negara itu menerima lebih 14.32 juta pelancong setakat hingga minggu lalu, dan menyasarkan untuk menarik sekurangnya 35 juta ketibaan pelancong tahun ini.

Source link

melawatPELANCONGANThailandvisa
Comments (0)
Add Comment