MEF berkata, walaupun ranking global beberapa universiti Malaysia, termasuk Universiti Malaya meningkat tetapi banyak menunjukkan penurunan dari segi pengiktirafan majikan.
PETALING JAYA: Walaupun ranking global beberapa universiti Malaysia meningkat dalam tinjauan antarabangsa baru-baru ini, ketidakpadanan graduan dan pekerjaan berterusan dengan kekurangan kemahiran insaniah, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
“Walaupun ranking universiti mungkin membuka pintu kepada peluang pekerjaan lebih baik, pengambilan graduan lebih bergantung kepada keupayaan mereka melakukan berbilang tugasan, memikul tanggungjawab dan menggunakan kemahiran praktikal serta insaniah.
“Berdasarkan Tinjauan Gaji MEF untuk Eksekutif 2021, satu pertiga daripada syarikat responden menjangkakan graduan baru diambil bekerja melakukan pelbagai tugas dan bekerja dengan berkesan dalam pasukan berprestasi tinggi.
“Tambahan, 29% syarikat mencari graduan yang menunjukkan libat urus dan kesanggupan memikul tanggungjawab tambahan, manakala 28.5% menghargai keupayaan graduan menyelesaikan tugas dan menggunakan kemahiran insaniah,” kata Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman kepada FMT.
Baru-baru ini, FMT melaporkan kedudukan beberapa universiti Malaysia meningkat dalam QS World University Rankings 2025. Universiti Malaya satu-satunya universiti Malaysia dalam 100 teratas global, naik lima anak tangga dari tahun lalu untuk mencapai tangga ke-60.
Universiti Kebangsaan Malaysia pula melonjak 21 anak tangga ke tangga ke-138, diikuti Universiti Sains Malaysia (146), Universiti Putra Malaysia (148) dan Universiti Teknologi Malaysia (181).
Tetapi, QS mendapati ranking 22 daripada 26 universiti Malaysia merosot dari segi pengiktirafan majikan.
Syed Hussain berkata, majikan sering mencari bukti pengalaman praktikal, seperti portfolio, kerja projek atau latihan amali sebagai bukti kebolehan calon kerana mereka menyedari pendidikan formal tidak semestinya diterjemahkan kepada kecekapan dalam kemahiran praktikal.
“Kemunculan semakin banyak bootcamp, kursus dalam talian dan pensijilan membolehkan individu mempelajari kemahiran khusus berkaitan pekerjaan di luar laluan pendidikan tradisional.
“Jika graduan mengambil inisiatif mempelajari pembangunan laman sesawang, contohnya melalui kursus dalam talian, tutorial atau projek, mereka akan mempunyai kelebihan ketara berbanding individu tidak berbuat demikian.”
Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai berkata, walaupun graduan universiti Malaysia secara amnya bersedia dalam pengetahuan akademik dan kemahiran teknikal, terdapat jurang ketara dalam pengalaman praktikal serta kemahiran insaniah.
“Graduan universiti tempatan selalunya mempunyai pengetahuan teknikal dan pemahaman teori yang kukuh tentang subjek mereka, tetapi kurang pengalaman praktikal serta kesediaan industri.
“Mereka sering dilihat individu yang rajin, dengan sikap positif terhadap pembelajaran dan penambahbaikan. Mereka cenderung mempunyai kebolehsesuaian budaya dan bekerja dengan baik dalam pasukan pelbagai, tetapi tiada kemahiran insaniah, pemikiran kritis dan inovatif.”
Untuk menangani isu ini, beliau mencadangkan universiti bekerjasama dengan industri bagi memastikan kesesuaian kurikulum serta meningkatkan tempoh dan kualiti latihan amali.
Katanya, kurikulum universiti perlu lebih memfokuskan komunikasi, kerja berpasukan, kemahiran menyelesaikan masalah dan penguasaan bahasa, selain menawarkan lebih banyak peluang untuk kepimpinan dan pembabitan di luar kurikulum.
Source link